X

Kindly register in order to view this article
!

Urusan 9 juta pendeposit di hujung jari dengan THiJARI

Kakitangan TH, Azza Maria Azmardi menunjukkan laman sesawang THiJari yang dilancarkan di Menara TH semalam. - Foto Rosli Talib
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih sembilan juta pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH) kini boleh memanfaatkan platform perkhidmatan digital dalam talian di laman web THiJARI yang dilancarkan semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, THiJARI yang telah selesai proses penambahbaikan akan lebih menjimatkan kos, sekali gus memberi kemudahan kepada para pendeposit.

Menurutnya, menerusi perkhidmatan itu, pendeposit boleh menyemak akaun, mencetak penyata akaun, pindahan wang, perkhidmatan Haji dan urusan Kelab TaHa.

"Profil demografik TH menunjukkan lebih 45 peratus pendeposit adalah terdiri daripada generasi muda yang terdedah dan mahir dengan teknologi terkini.

“Golongan ini mempunyai ekspektasi tinggi dan kehendak mereka perlu diberikan pertimbangan wajar kerana mereka sering menggunakan teknologi untuk meluahkan pandangan masing-masing atas perkhidmatan yang diberikan.

“TH menggalakkan lebih ramai pendeposit TH menggunakan THiJARI pada tahun 2020 ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran THiJARI dan Kempen #SimpanDaftarDanMenang TH, di Menara TH Jalan Tun Razak di sini semalam.

Nik Mohd Hasyudeen menyempurnakan simbolik pelancaran THiJari dan Kempen #simpandaftardanmenang sambil diperhatikan Ketua Pegawai Strategik dan Ketua Staff TH, Hizamuddin Jamaluddin serta Pengurus Besar, Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Ridzuan Wahi. - Foto Rosli Talib
Nik Mohd Hasyudeen menyempurnakan simbolik pelancaran THiJari dan Kempen #simpandaftardanmenang sambil diperhatikan Ketua Pegawai Strategik dan Ketua Staff TH, Hizamuddin Jamaluddin serta Pengurus Besar, Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Ridzuan Wahi. - Foto Rosli Talib

Untuk menggunakan perkhidmatan THiJARI, pendeposit perlu mengemaskini maklumat ahli termasuk nombor telefon bimbit di kaunter TH atau boleh terus melayari www.thijari.com.my jika sudah mengemaskini maklumat yang diperlukan.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, unjuran umat Islam di Malaysia pada tahun 2019 adalah 18.8 juta orang dan dianggarkan 53 peratus daripadanya belum menyimpan dan mendaftar haji di TH.

"Kempen #SimpanDaftarDanMenang yang dilancarkan TH dilihat mampu menarik lebih ramai umat Islam di Malaysia untuk membuka akaun di TH dan seterusnya mendaftar haji dan ia layak disertai semua pendeposit TH yang berumur 18 tahun ke atas.

“Bagi pendeposit sedia ada, mereka hanya perlu menambah simpanan sebanyak RM5,000 serta mengekalkannya dalam tempoh kempen dan pendeposit baharu perlu membuat simpanan minimum sebanyak RM5,000," katanya.

Menurutnya, pendeposit TH juga perlu mendaftar haji untuk melayakkan mereka menyertai cabutan kempen ini.

“Tiga cabutan akan dilakukan oleh TH sepanjang tempoh kempen iaitu pada Mei dan Ogos 2020 serta Januari 2021. Hadiah-hadiah menarik disediakan untuk pemenang berupa wang tunai dan pakej umrah ziarah bernilai RM300,000,” katanya.

Inisiatif terbaru TH itu dilaksanakan susulan perubahan konsep simpanan TH dari Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah pada penghujung tahun 2019 lalu membolehkan TH mempelbagaikan cara promosi dan program pemasaran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!