Waris Allahyarham Lok-U terima bayaran faedah Perkeso

Mustafa (kanan) menyerahkan bantuan faedah pengurusan mayat kepada Jamariah (dua dari kanan) sambil diperhatikan Zuraini dan Ismail (kiri).
Mustafa (kanan) menyerahkan bantuan faedah pengurusan mayat kepada Jamariah (dua dari kanan) sambil diperhatikan Zuraini dan Ismail (kiri).
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam menyerahkan bayaran faedah caruman kepada balu dan anak-anak kepada pengarah muzik terkenal, Lok-U atau nama sebenarnya Faizal Uzir, 46, yang meninggal dunia pada 22 Januari lalu.

Pengarah Perkeso Selangor, Mustapa Draman berkata, penyerahan faedah caruman itu melibatkan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 serta faedah pencen penakat yang bakal diterima setiap bulan oleh balu Allahyarham Lok-U, Jamariah Yusof, 40.

Menurutnya, setelah disemak, Allahyarham Lok-U didapati pernah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) ketika berkhidmat sebagai ahli muzik di Petronas.

“Caruman Allahyarham Lok-U aktif sejak Oktober 1998 sehingga Oktober 2006 dengan jumlah purata caruman sebanyak 97 bulan, sekali gus melayakkan orang tanggungannya untuk menerima bantuan faedah pencen penakat.

“Menerusi pencen penakat ini, Jamariah dan empat orang anak mereka yang berusia 20 hingga 13 tahun (yang kesemuanya masih belajar dan berada di bawah tanggungan Jamariah) akan memperoleh faedah berjumlah RM1,266 sebulan,” katanya pada majlis serahan pencen penakat kepada Jamariah di rumahnya di Taman Puncak Jalil di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Cawangan Faedah Ibu Pejabat Perkeso, Ismail Abi Hashim; Pengurus Pejabat Perkeso Kajang, R Thavamani dan Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zuraini Kassim.

Katanya, selepas anak-anak mereka melepasi usia 21 tahun hanya balu Lok-U yang akan mendapat faedah tersebut seumur hidup.

“Jika anak-anak tersebut melanjutkan pelajaran ke universiti, mereka layak untuk mendapat skim pinjaman pendidikan daripada Perkeso untuk pengajian di peringkat ijazah pertama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jamariah berkata, dia bersyukur dengan bantuan diterima dan akan memanfaatkan sebaiknya untuk keperluan dia dan anak-anak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak iaitu Adam Danial, 20; Faris Danial, 18; Ahmad Firhan Danial, 15 dan Yasmin Diana, 13.