Teknologi canggih kereta api peluru

No Image Caption
A
A
A

PEMBUKAAN landasan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang dengan kos 58.4 bilion yuan (RM34.43 bilion) itu dikatakan projek pintar pertama di dunia dengan spesifikasi cukup canggih.

Kejayaan China membangunkan teknologi kereta api pintar tanpa pemandu yang dilengkapi teknologi komunikasi generasi kelima (5G) itu begitu mengagumkan.

Dengan siapnya pembinaan landasan kereta api peluru pintar pertama dunia melibatkan kos hanya 58.4 bilion yuan (RM34.43 bilion), keupayaan negara itu tidak boleh disangkal lagi.

Lebih mengejutkan, kecanggihan reka bentuk landasan terbabit adalah yang pertama seumpamanya di dunia. Ia juga menggunakan teknologi robotik untuk membaiki dan menyelenggara kereta api.

Selain rangkaian isyarat 5G dan pencahayaan canggih, sebanyak 2,718 sensor dipasang untuk mengumpul data masa nyata dan mengesan apa-apa kelainan operasi.

Apa lagi yang canggih? Ya, setiap kerusi penumpang mempunyai panel kawalan skrin sentuh sendiri dan tempat mengecas tanpa wayar yang selesa. Jadi, segala urusan berkaitan boleh dilakukan dengan mudah.

Di stesen pula, sistem pengenalan wajah dan teknologi robotik digunakan untuk membantu memberikan arahan, mengangkat bagasi dan mendaftar masuk penumpang tanpa penggunaan kertas.

Semua itu hanyalah untuk persediaan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022!

Artikel Berkaitan:

Landasan yang menghubungkan bandar kedua terbesar China dengan Zhangjiakou sejauh 108 batu nautika itu boleh direntasi hanya dalam masa 47 minit.

SPESIFIKASI canggih termasuk mengecas tanpa wayar disediakan untuk penumpang Kereta api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang.
SPESIFIKASI canggih termasuk mengecas tanpa wayar disediakan untuk penumpang Kereta api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang.

Satelit global

Sejauh mana 'pintarnya' kereta api berkelajuan tinggi terbaharu yang dikenali sebagai siri ‘Fuxing’ dengan nama asalnya ‘Hexie’ yang bermakna keharmonian itu?

Memetik laporan Dailymail.co.uk, pakar China mendakwa, kereta api yang menggunakan gerabak penumpang dengan spesifikasi canggih itu mampu bergerak dengan kelajuan 350 kilometer (km) sejam.

Hanya dalam tempoh empat tahun, projek landasan meliputi jarak 174km dengan 10 perhentian berkenaan dibuka secara rasmi untuk kegunaan umum pada 30 Disember lalu.

Jika diimbas kembali, teknologi kereta api peluru tanpa pemandu sudah lama dibangunkan di China, malah menjadi bahagian penting dalam rangkaian pengangkutan awam di negara tembok besar tersebut.

Bermula pada tahun 1909, landasan kereta api pertama dibina bagi menghubungkan Beijing dan Zhangjiakou yang mengambil masa lebih lapan jam.

Namun kini, laluan asal itu sudah ditutup dan tidak lagi berfungsi. Kebanyakan stesen asal dihentikan operasi sejak 2016 lagi bagi memberi laluan kepada projek pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi yang baharu.

Menurut China Railway Group, teknologi lokomotif negara itu semakin canggih apabila bakal dikendalikan oleh sistem navigasi satelit global yang dibangunkan Beidou.

SISTEM navigasi satelit global yang dibangunkan Beidou dijangka siap tahun ini selepas roket pembawa Long March-3B menerbangkan dua satelit navigasi tersebut dari Pusat Pelancaran Satelit Liangshan pada 23 November lalu.
SISTEM navigasi satelit global yang dibangunkan Beidou dijangka siap tahun ini selepas roket pembawa Long March-3B menerbangkan dua satelit navigasi tersebut dari Pusat Pelancaran Satelit Liangshan pada 23 November lalu.

Projek navigasi baharu bernilai AS$9 bilion (RM36.81 bilion) tersebut dijangka siap pada tahun ini sekali gus bakal menyaingi dan dikatakan akan menggantikan Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang itu turut menterjemahkan misi pembangunan, peralatan dan operasi pintar seterusnya mencipta sejarah kereta api pintar pertama dunia. Itu kata jurutera kanan Perunding dan Reka Bentuk Kejuruteraan China Railway Group, Li Hongxia.

“Kejayaan menyiapkan projek landasan itu menjadi sejarah dalam lembaran kronologi projek kereta api negara.

“Jika mengikut pelan landasan, projek kereta api itu akan melalui wilayah Hebei. Perjalanan asal yang memakan masa lebih tiga jam mampu disingkatkan kepada kurang 50 minit,” ujarnya yang dipetik Technology Daily.

Meski kereta api pintar diprogramkan tanpa pemandu, namun kehadiran pemandu ‘diwajibkan’ bagi memantau operasi automatik dan mengendalikan insiden kecemasan yang tidak diingini.

Pun demikian apa yang menarik, segala kerosakan dan kerja penyelenggaraan diuruskan oleh robot. Bukan calang-calang ‘mekanik’ yang dibawakan, tetapi robot yang memilik kecerdasan buatan (AI).

Hal itu itulah juga yang menjadi keluhan jurutera projek Kumpulan China Railway Seventh, Di Kemeng yang memaklumkan kebanyakan pekerja diganti dengan mesin untuk melakukan kerja pembaikan gerabak dan trek kereta api.

CHINA melancarkan kereta api berkelajuan tinggi demi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
CHINA melancarkan kereta api berkelajuan tinggi demi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Teruja

Sebaik tiba di Stesen Kereta Api Beijing Utara, kereta api peluru pertama dunia sudah siap sedia menunggu penumpang tepat jam 8.30 pagi.

Keterujaan untuk menaiki kereta api canggih turut dikongsikan Yang Yang, juara Olimpik Musim Sejuk China pertama yang memenangi dua pingat emas dalam acara luncur ais pada Olimpik Musim Sejuk 2002 di Salt Lake City, AS.

Wanita berusia 44 tahun itu tidak menafikan kemudahan kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Zhangjiakou amat penting sebagai pengangkutan penghubung Sukan Olimpik dan Paralimpik 2022.

“Kemudahan itu dapat meningkatkan kecekapan kerja selain mempromosikan sukan musim sejuk di China. Ia juga dapat mengembangkan lagi ekonomi setempat,” katanya yang kini menjadi Ketua Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Siapa sangka, China mempunyai sistem landasan kereta api terbesar di dunia iaitu 139,000km selain rangkaian rel berkelajuan tinggi sepanjang 35,000km sejak 2019 lagi.

Ia telah membelanjakan lebih 2.8 trilion yuan (RM1.65 trilion) semata-mata untuk membangunkan landasan kereta api sejauh 23,000km antara tahun 2016 hingga 2020.

Memetik laporan agensi berita Xinhua, Beijing berjaya menyiapkan projek kereta api tersebut yang melibatkan pelaburan terbesar antara tahun 2013 hingga 2017. Ia melibatkan jarak laluan hampir 30,000km. Lebih separuh daripada laluan itu adalah untuk kereta api laju dengan kos 3.9 trilion yuan (RM2.3 trilion).

Memetik laporan hk.asiatatler.com pula, landasan kereta api laju yang turut menghubungkan wilayah Yanqing itu hanya akan dilalui enam kereta api peluru pintar berbanding 30 sedia ada.

Jika melihat hentian yang ditetapkan di setiap stesen, apa yang menarik perhatian adalah perhentian keenam yang mana penumpang boleh turun ke Badaling Chang Cheng, laluan terkenal untuk ke Tembok Besar China.

Bagaimana pula dengan tiket? Anggaran harga bermula AS$11 (RM44.98) untuk kereta api biasa manakala kereta api pintar, tiket dijual bermula dari harga AS$12 (RM49.07).

LALUAN landasan kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Beijing dan Zhangjiakou.
LALUAN landasan kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Beijing dan Zhangjiakou.