Pereka cilik Malaysia hasilkan sebatian antimengantuk

Prahveenraaj (kiri) bersama rakan sepasukan, Kaviynashrie (tengah) dan Avvaneesh menunjukkan produk ciptaan mereka iaitu 'anti-drowsy herbal remedy' yang mampu memberi kesegaran dan meningkatkan kepekaan pemandu yang mengantuk. - Foto Bernama
Prahveenraaj (kiri) bersama rakan sepasukan, Kaviynashrie (tengah) dan Avvaneesh menunjukkan produk ciptaan mereka iaitu 'anti-drowsy herbal remedy' yang mampu memberi kesegaran dan meningkatkan kepekaan pemandu yang mengantuk. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Menyedari ayahnya kepenatan kerana perlu berhati-hati ketika memandu semasa percutian keluarga, L Prahveenraaj mendapat ilham untuk menghasilkan satu inovasi bagi mengurangkan rasa mengantuk ketika memandu dalam perjalanan jauh.

Mengantuk ketika memandu yang boleh mengundang bahaya buat pemandu dan pengguna jalan raya yang lain, menyebabkan seorang murid berumur 11 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St Theresa’s Convent, Taiping, Perak, tekad mencari penawar bagi mengatasi masalah mengantuk ketika memandu, sekali gus mengurangkan jumlah kemalangan di jalan raya.

“Saya mahu mencipta sebatian mesra alam, mampu dibeli dan tidak mendatangkan bahaya yang dapat meningkatkan kadar kepekaan pemandu dan boleh menghalang kemalangan,” kata Prahveenraaj kepada Bernama.

Prahveenraaj dan rakan sepasukan, S Kaviynashrie dan M Avvaneesh menggunakan daun pudina, daun pudina Mexico, bunga cengkih, kayu manis, daun selasih dan minyak zaitun bagi menghasilkan sebatian antimengantuk yang diubah menjadi penyegar udara dalam kereta, penyembur, alat penyedut dan topeng yang mampu memberikan kesegaran dan meningkatkan kepekaan pemandu yang mengantuk.

“Sebatian itu boleh digunakan sebagai antibakteria semula jadi, pengawal sistem pernafasan dan penghalau serangga semula jadi,” katanya.

Kumpulan pelajar ini menyertai Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition 2020 (IPITEx 2020) yang berlangsung di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC) di sini, sempena Hari Pereka Cipta Thailand yang berlangsung 2 Februari setiap tahun.

Pavilion antarabangsa dibina untuk peserta mempamerkan reka cipta dan inovasi masing-masing, ia sebagai platform bagi pereka cipta muda menyerlahkan potensi diri mereka selain meraih pengalaman dan pendedahan lebih mendalam.

Satu lagi reka ciptaan Malaysia yang menarik perhatian pengunjung adalah tuala wanita mesra alam yang 100 peratus terbiodegradasikan dan bersih.

Artikel Berkaitan:

P Deva Nayagi dan P Abbinayaa, pelajar berusia 13 tahun dari SMK Sultan Badlishah dan SJK (T) Thiruvalluvar menghasilkan tuala wanita mesra alam terbiodegradasikan daripada serat pisang, daun mambu dan serbuk vitex yang mempunyai tahap penyerapan tinggi.

Jelas mereka, hari ini anak gadis dan wanita menggunakan tuala wanita mengandungi beberapa bahan kimia termasuk peluntur klorin yang boleh menyebabkan kanser pangkal rahim dan penyakit radang pelvis.

“Kanser pangkal rahim adalah kanser ketiga paling biasa di Malaysia. Oleh itu, kami mencipta tuala wanita mesra alam yang hanya menggunakan bahan semula jadi. Tuala wanita mesra alam ini terbiodegradasi,” katanya.

Penawar berherba mencegah mengantuk dan tuala wanita mesra alam itu antara 170 reka ciptaan, produk dan teknik baharu dipamerkan pereka cipta muda Malaysia.

Ketua delegasi Malaysia, Prof Ir Dr R Vigna Kumaran dari Malaysian Invention and design Society (MINDS) berkata, lebih 500 pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar kolej dan universiti dari Malaysia terlibat dalam ekspo berkenaan bermula 2 hingga 6 Februari.

“Kami meletakkan sasaran 50 emas dalam pertandingan reka cipta dan inovasi. Keputusan akan diumumkan esok,” kata Ketua Unit Sistem Kuasa, Institut Kejuruteraan Kuasa (IPE) itu.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel melawat reruai Malaysia sebagai tanda sokongan kepada delegasi Malaysia pada BITEC kali ini.-Bernama