Bandar pintar di ibu negara baharu Indonesia

Sebahagian kawasan di daerah Sepaku di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur akan menjadi lokasi ibu negara baharu Indonesia. - Foto Agensi
Sebahagian kawasan di daerah Sepaku di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur akan menjadi lokasi ibu negara baharu Indonesia. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Ibu negara baharu Indonesia yang akan dibina di atas tanah seluas 256,000 hektar di Kalimantan Timur akan menjadi perintis pembangunan pintar di negara itu.

Menteri Perancangan Pembangunan Negara, Suharso Monoarfa berkata, ibu negara baharu itu akan menetapkan standard baharu untuk infrastruktur dan perkhidmatan asas.

Menurut laporan Jakarta Post, antara infrastruktur asas yang bakal diwujudkan termasuk pengangkutan awam digital dan bersepadu, pengurusan air, air paip boleh diminum, pengurusan sisa, saliran integrasi dan hab digital dengan sistem maklumat bersepadu.

"Harapan kami adalah untuk menjadikan semua bandar di Indonesia hebat, bukan sahaja di ibu negara. Sebagai contoh, jika kita boleh minum air terus dari paip di ibu negara, mengapa tidak kita cipta teknologi yang sama di semua bandar?" katanya.

Perkhidmatan untuk perniagaan pula termasuk hospital pintar, universiti antarabangsa, industri berteknologi tinggi dan industri hijau seperti kilang bertenaga solar serta hab baharu untuk konvensyen, pameran pelancongan dan tarikan semula jadi.

Kerajaan juga sedang merangka undang-undang tentang ibu negara baharu yang akan merangkumi butiran pembentukannya sebagai wilayah khas.

Selain daripada aspek bandar pintar, ia tidak akan menjadi wilayah baharu dan diuruskan oleh seorang pengurus bandar di bawah kerajaan pusat.

Sementara itu, menurut pakar pembangunan, Wicaksono Sarosa, pembinaan bandar pintar bukan mudah dan akan mengambil masa.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan fizikal mungkin lebih cepat tetapi bandar juga mempunyai aspek sosial. Ia mungkin memerlukan masa 15 hingga 30 tahun untuk menjadi sebuah bandar yang hidup dan berfungsi sepenuhnya," katanya.

Jakarta akan kekal menjadi wilayah khas meskipun ia tidak lagi berfungsi sebagai ibu negara. - Agensi