Koronavirus: Empat lagi jangkitan di Singapura

Singapura mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif koronavirus sebanyak 28 kes setakat ini. - Foto AP
Singapura mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif koronavirus sebanyak 28 kes setakat ini. - Foto AP
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan empat lagi kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di republik itu yang turut membabitkan seorang bayi lelaki berusia 6 bulan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 2019-nCoV di Singapura ialah 28.

Daripada empat kes itu, tiga dikaitkan dengan kluster jangkitan tempatan seperti yang diumumkan semalam manakala satu lagi adalah kes dari luar membabitkan seorang pelancong China dari Wuhan.

Bayi berusia 6 bulan itu adalah anak kepada mangsa kes jangkitan tempatan baharu iaitu seorang lelaki rakyat Singapura berusia 45 tahun iaitu suami pesakit kes semalam, yang merupakan penduduk tetap Singapura.

Bayi lelaki itu kini dirawat dalam bilik pengasingan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, menurut MOH dalam kemas kini terbaru hari ini.

MOH berkata, belum ada bukti bahawa terdapat penularan jangkitan komuniti di Singapura.

Kementerian itu berkata, tujuh kluster jangkitan tempatan boleh dikesan kepada kontak dengan sekumpulan 20 pelancong dari Guangxi yang melawat Singapura dari 22 hingga 23 Januari dan 27 Januari (transit dari jam 3 pagi hingga 6 pagi).

Pihak berkuasa kesihatan China telah mengesahkan bahawa dua pelancong daripada kumpulan itu telah disahkan dijangkiti 2019-nCoV.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, MOH berkata, terdapat 94 peserta dari luar negara dalam satu mesyuarat perniagaan swasta dari syarikat sama di Hotel Grand Hyatt Singapura dari 20 hingga 22 Januari.

Malaysia dan Korea Selatan masing-masing pada 4 dan 5 Februari telah mengumumkan kes yang disahkan serta dikaitkan dengan mesyuarat perniagaan swasta yang membabitkan 109 peserta.

Menurut MOH, kesemua 94 peserta dari luar negara itu telah meninggalkan Singapura dan kementerian sudah memaklumkan pihak berkuasa kesihatan di luar negara yang berkaitan.

Mengemas kini situasi kes yang telah disahkan, MOH berkata, baki 23 orang, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih, kecuali seorang yang memerlukan sokongan oksigen tambahan namun tidak ditempatkan di unit rawatan rapi.

Satu daripada kes yang disahkan sebelum ini, iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun yang merupakan penduduk Wuhan, telah dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa.- Bernama