Galak pengusaha taska OKU di rumah mendaftar

Halimaton Shaadiah (tengah) bergambar bersama peserta progam roadshow garis panduan dan borang permohonan pendaftaran OKU Pindaan 2019 Zon Utara hari ini.
Halimaton Shaadiah (tengah) bergambar bersama peserta progam roadshow garis panduan dan borang permohonan pendaftaran OKU Pindaan 2019 Zon Utara hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengusaha taska Orang Kurang Upaya (OKU) di rumah digalakkan mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mereka layak menerima insentif dan pelbagai kemudahan lain.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, golongan suri rumah yang menjaga anak OKU digalakkan berbuat demikian bagi menambah pendapatan, dengan mengusahakan taska OKU di kawasan perumahan masing-masing.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan promosi berterusan agar suri rumah yang mengasuh anak OKU dengan minima empat hingga bawah 10 orang tampil mendaftar, agar tidak berdepan masalah sekiranya insiden tidak diingini berlaku.

“Dalam mesyuarat Exco tadi ada dibincangkan untuk permudahkan urusan ini, sebelum ini rumah teres di taman perumahan yang kedudukannya di tengah, tidak dibenarkan dijadikan taska atau pusat jagaan kanak-kanak.

"Kita akan cuba permudah agar suri rumah dapat jana pendapatan kerana JKM akan berikan peruntukan kepada pengusaha ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian penutup 'roadshow' garis panduan dan borang permohonan pendaftaran OKU Pindaan 2019 Zon Utara hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Azmi Abd Karim.

Halimaton Shaadiah berkata, setakat ini hanya terdapat 12 pengusaha taska di rumah yang berdaftar di negeri ini.

“Antara insentif, diskaun 20 peratus bil elektrik dan air, serta subsidi mengikut pendapatan perkapita contohnya bagi kawasan bandar pendapatan kurang RM500 akan diberi subsidi RM180 kepada pengusaha. Seramai 150 pengusaha menerima subsidi berjumlah RM400,000 tahun lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemudahan lain termasuk diberikan kursus dan latihan penjagaan anak OKU oleh JKM agar pengurusan lebih terlatih selain dibekalkan silibus mendidik anak OKU.

Halimaton Shaadiah berkata, JKM akan membuat pemantauan di semua taska terbabit dua kali setahun bagi memastikan pengusaha menepati syarat ditetapkan.

“JKM telah keluarkan saman terhadap 114 pengusaha taska swasta atas pelbagai kesalahan kerana gagal tepati syarat,” katanya.

Menurutnya, Kedah bakal mewujudkan sebuah Independent Living Centre (ILC) dan sebuah taska OKU yang pertama di negeri ini di Rumah Amal Kulim yang dijangka siap Mac depan.

“Peruntukan geran RM500,000 diberikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sebelum ini dua buah ILC di Selangor (Puchong dan Rawang) manakala 30 taska OKU seluruh negara,” katanya.

Halimaton Shaadiah berkata, Rumah Amal Kulim kini sedang dinaik taraf untuk memenuhi kriteria dengan menyediakan kemudahan dan peralatan pembelajaran OKU.

“Pada tahun ini kita juga akan giatkan lagi kempen Jom Daftar OKU di semua daerah terutama di kawasan pedalaman. Kerajaan Negeri menyediakan Skim Insentif Pendaftaran OKU (SIPOKU) bagi menggalakkan anak Kedah mendaftar diri sebagai OKU dan diberikan insentif one-off RM100,” katanya.

Menurutnya, seramai 3,223 orang OKU menerima skim insentif ini dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM322,300 tahun lalu.

“Skim Bantuan Kerajaan Persekutuan meliputi Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) dan Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB) bagi negeri ini meningkat kepada RM80 juta (2019) berbanding RM61 juta pada 2018. Ini termasuk peruntukan Bantuan Alat Tiruan (BAT) meningkat kepada RM240,950 (2019) berbanding RM223,010 tahun sebelumnya,” katanya.

Tambahnya, kad OKU Sub-Kategori Pembelajaran yang diperkenalkan bagi memudahkan pemegang kad OKU berurusan di sekolah, hospital, pihak berkuasa atau berlaku kecemasan mencatatkan pendaftaran baharu seramai 14,428 orang, sejak dilancarkan 7 Mac hingga 12 Disember 2019.