X

Kindly register in order to view this article
!

18 fasiliti baharu Sukma Johor siap April ini

Mohd Khuzzan (tiga dari kanan) menyerahkan kalendar program promosi Sukma Johor 2020 kepada wakil sekretariat Sukma Johor di Hotel Thistle hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 18 kemudahan baharu bakal digunakan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.

Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerajaan akan memantau perkembangan terkini kesemua projek berkenaan bagi memastikan ia berjalan lancar serta siap sebagaimana dijadualkan.

Menurutnya, ketika ini, pembinaan Kompleks Sukan Mount Austin sudah pun siap dengan rata-rata fasiliti sudah memasuki fasa akhir iaitu 60 hingga 90 peratus antaranya balapan olahraga dan venue sukan ragbi di Mount Austin sudah siap 99 peratus, Arena Larkin dan Velodorom Basikal Iskandar Puteri (90 peratus) serta lapang sasar (68 peratus).

“Selain itu, kemudahan bagi venue sukan pelayaran di Desaru pula 45 peratus. Ini tiada masalah kerana kita hanya sediakan ruangan dan beberapa kelengkapan,” katanya pada sidang media Karnival Semarak Juara Sukma Johor 2020 di Hotel Thistle di sini hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, kerajaan negeri menaruh harapan tinggi untuk menjadikan edisi Sukma pada kali ini yang terbaik dari segi penganjuran, kemudahan dan teknologi.

“Secara keseluruhannya, sejajar dengan alaf baru tahun 2020, kita juga sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan sebarang kejohanan sukan untuk berlangsung di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Sekretariat Sukma Johor juga akan memperkenalkan rekaan obor dan pingat penganjuran acara berkenaan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ditanya sama ada wabak koronavirus yang sedang menular di beberapa negara ketika ini akan menyebabkan temasya Sukma Johor 2020 ditangguhkan, beliau memaklumkan sebarang perkembangan lain akan diteliti bergantung kepada keadaan semasa.

"Insya-ALLAH lebih baik cegah dulu dari sekarang bagi memastikan rakyat Johor berada dalam keadaan selamat," katanya.

Menurutnya, kesemua atlet negeri yang bakal mengambil bahagian dalam temasya berkenaan juga tidak dihantar menjalani latihan di luar negara bagi mengelakkan atlet terdedah kepada jangkitan penyakit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!