Kanak-kanak perempuan sembuh koronavirus dalam proses pulang ke China

Kanak-kanak warga China yang berusia empat tahun itu bersama ahli keluarganya disahkan sembuh kini dalam proses untuk pulang semula ke negara asalnya. - Foto: KKM
Kanak-kanak warga China yang berusia empat tahun itu bersama ahli keluarganya disahkan sembuh kini dalam proses untuk pulang semula ke negara asalnya. - Foto: KKM
A
A
A

PUTRAJAYA - Kanak-kanak perempuan warga China berusia empat tahun yang sembuh daripada jangkitan novel koronavirus 2019 di Hospital Sultanah Maliha Langkawi, Kedah kini dalam proses untuk pulang semula ke negara asalnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, proses berkenaan akan diuruskan Kedutaan China di Malaysia dan pihaknya sudah berbincang dengan pihak kedutaan mengenai perkara itu.

“Sedang diatur oleh Kedutaan China dalam susunan atau perancangan dihantar kembali ke China,” katanya pada sidang media harian perkembangan koronavirus di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Selain itu, Dzulkefly berkata, beliau akan berhubung dengan rakan sejawatnya di China untuk berkongsi maklumat dalam mengambil langkah terbaik untuk menangani koronavirus.

Ditanya mengenai kaedah rawatan kanak-kanak itu yang dibenarkan pulang, semalam setelah sembuh dengan hasil ujian pengesanan ulangan bagi virus itu didapati negatif, beliau berkata, tiada ubat dan antiviral yang khusus digunakan.

“Dimaklumkan oleh pakar-pakar bahawa jangka hayat virus koronavirus dapat berakhir dengan kekuatan imuniti badan. Ia berbeza seperti kanser. Ini memecahkan mitos atau kepercayaan bahawa apabila anda dijangkitinya, anda akan berada dalam kondisi yang buruk. Kita (KKM) telah buktikan dengan kes ini, sembuh sepenuhnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak warga China positif koronavirus disahkan sihat

Pada 29 Januari lepas, kanak-kanak perempuan warganegara China itu dilaporkan positif bagi jangkitan koronavirus dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes yang tular di media sosial mengenai seorang individu yang rebah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan didakwa positif koronavirus, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu.

Katanya, remaja perempuan warganegara Kanada berusia 17 tahun itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kes itu dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pada peringkat awal, keupayaan makmal bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan koronavirus hanya terhad kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.

“Tetapi kini sebanyak 12 makmal hospital dan empat Makmal Kesihatan Awam dari seluruh negara telah dilatih oleh pihak IMR baru-baru ini dengan mengguna pakai protokol yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Tambah beliau, kapasiti ini akan diperluaskan lagi bagi rangkaian makmal swasta yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk turut sama terlibat dan sesi latihan berkaitan akan diadakan oleh pihak MKAK Sungai Buloh esok.

Jangkitan koronavirus yang bermula dari bandar Wuhan dalam wilayah Hubei, China telah merebak ke seluruh dunia termasuk Malaysia dan Singapura dengan 492 kematian sehingga kini. Di Malaysia, seramai 12 orang telah disahkan positif jangkitan itu dengan tiga daripadanya warga Malaysia, manakala selebihnya warga China.

Sementara itu, Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian memuji tindakan pantas dan kredibiliti pusat perubatan di negara ini yang bertungkus-lumus memberikan rawatan sewajarnya kepada warga China yang dikesan positif jangkitan koronavirus.

"Saya ingin memuji hospital Malaysia atas tahap profesional mereka dan rawatan yang diberikan kepada pesakit. Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap tindak balas dan keupayaan perubatan di Malaysia,” katanya kepada Bernama TV.

Duta itu berkata, pada masa yang sama, kerajaan China akan terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Kesihatan untuk bersama-sama membasmi penularan wabak yang diisytiharkan sebagai Darurat Kesihatan Awam Global (PHEIC) oleh WHO. - Bernama