Koronavirus: MASkargo hantar bantuan ke China

Barangan bantuan untuk dihantar ke China tiba di Kompleks MASkargo hari ini.
Barangan bantuan untuk dihantar ke China tiba di Kompleks MASkargo hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Aviation Group (MAG) melalui anak syarikatnya, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) hari ini menghantar bantuan peralatan perlindungan perubatan untuk kegunaan hospital di wilayah Hubei, China menerusi penerbangan MH386 ekoran wabak koronavirus.

Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Ibrahim Mohamed Salleh berkata, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Shanghai Pudong itu dijangka berlepas pada jam 7.35 petang ini.

Menurutnya, penghantaran bantuan itu hasil kerjasama dengan organisasi bantuan tempatan #OpsHarapan yang melancarkan derma baru-baru ini untuk mengumpul bekalan perubatan bagi meringankan beban akibat serangan koronavirus di Wuhan, China dan semua barang-barang tersebut telah dihantar ke Kompleks MASkargo hari ini.

"MASkargo diberi penghormatan menghantar bekalan ini bersama Malaysia Airlines (MAS). Kami yang setiap hari mempunyai penerbangan ke China merasa sangat prihatin dengan keadaan sedang dihadapi negara tersebut termasuk cabaran dalam perjalanan masuk dan keluar dari China.

"Kami akan pastikan bekalan dibawa iaitu terdiri daripada topeng pembedahan, topeng N95, sarung tangan pembedahan dan lain-lain akan sampai ke setiap hospital dan ia akan membantu doktor serta jururawat dalam menjalankan tugas mereka dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ibrahim berkata, sebelum ini MASkargo juga telah mengadakan pelbagai misi bantuan termasuk membabitkan mangsa letusan Gunung Berapi Taal di Manila dan juga mangsa-mangsa yang terjejas akibat kebakaran hutan di Australia.

Katanya, jaringan sokongan logistik yang dimiliki membolehkan mereka bergerak dengan cekap dan cepat untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Wuhan merupakan ibu kota wilayah Hubei yang kedudukannya terletak di tengah-tengah China amat memerlukan bantuan dalam semua bentuk bagi mengekang virus tersebar.

Artikel Berkaitan: