'Harap yang langgar anak saya dapat balasan setimpal'

Sinar Harian melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut, manakala rakannya patah tangan dalam kejadian kemalangan langgar lari 21 Januari lalu. Gambar kanan: Zaidi
Sinar Harian melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut, manakala rakannya patah tangan dalam kejadian kemalangan langgar lari 21 Januari lalu. Gambar kanan: Zaidi
A
A
A

BANTING - Bapa kepada mangsa kemalangan langgar lari mengharapkan pelaku yang menyebabkan kematian anaknya menerima hukuman setimpal.

Zaidi Zainal Abidin, 44, berkata, dia sekeluarga masih belum dapat melupakan kesedihan akibat tragedi meragut nyawa anak sulungnya, Nur Aida Rafhanah, 13, dalam nahas di Kilometer 11 Jalan Banting-Dengkil, Olak Lempit di sini pada 21 Januari lalu.

Apatah lagi katanya, pemandu yang melanggar anaknya masih belum dapat dikenal pasti pihak berkuasa meskipun selepas dua minggu kejadian berlaku, namun dimaklumkan kes kemalangan yang turut mengakibatkan seorang lagi pelajar Tingkatan Satu cedera masih dalam siasatan pihak polis.

"Saya dimaklumkan si pelaku belum dapat ditangkap lagi. Harapan saya supaya yang melanggar anak saya akan mendapat hukuman setimpal.

"Keluarga kami masih bersedih dengan kejadian menimpa arwah. Adik-adik arwah selalu bertanya di mana kakak mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh ketika melintas

Zaidi berkata, kejadian malang itu berlaku ketika anaknya menyeberangi jalan ke hentian bas untuk menunggu bas ke sekolah.

Katanya, sudah menjadi rutin Allahyarham mengayuh basikal ke hentian bas sebelum menaiki bas untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Changgang.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa hari sebelum kejadian, arwah ada minta ibunya belikan vest kerana dilantik menjadi pengawas perpustakaan sekolah.

"Kali pertama dia pakai vest itu dia tunjuk depan saya sambil bertanya 'cantik tak, ayah' sebelum saya mengiyakan pertanyaannya. Saya tak boleh lupa. Baru tiga kali dia guna vest dibeli itu," katanya.

Menurutnya, anak sulung daripada lima beradik itu seorang penyayang, periang dan aktif bersukan, selain sering menyatakan cita-citanya menjadi seorang guru.

"Arwah memang anak harapan keluarga. Di rumah dialah yang jadi kawan gaduh, kawan ketawa ibunya dan rajin jaga adik-adiknya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Zaidi berharap kemudahan jejantas dapat dibina di lokasi kemalangan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, dia bimbang kerana adik-adik arwah dan pelajar lain yang tinggal di Olak Lempit turut menggunakan jalan itu untuk berulang-alik ke sekolah.

"Saya rayu bina segera jejantas di situ," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 300 penduduk Olak Lempit, Banting berhimpun secara aman 29 Januari lalu mendesak kerajaan membina kemudahan jejantas di Jalan Banting-Dengkil berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit.

Penduduk mendakwa, lebih 10 kejadian kemalangan berlaku di laluan tersebut membabitkan kematian termasuk sebahagian besar mangsa adalah pelajar sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tolonglah bina bonggol dan jejantas'

Kerajaan Selangor dalam maklum balasnya memberitahu akan memasukkan projek jejantas di Jalan Banting-Dengkil berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit dan pelebaran jalan di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memandang serius mengenai permasalahan tersebut yang membelenggu penduduk di kawasan berkenaan.