Isu Uptown Danau Kota sampai ke Putrajaya

Abu Bakar (tengah) membaca kandungan memo bantahan yang dihantar oleh Ikhlas dan peniaga semalam.
Abu Bakar (tengah) membaca kandungan memo bantahan yang dihantar oleh Ikhlas dan peniaga semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) bersama-sama 315 peniaga Uptown Danau Kota yang tidak mendapat petak di Bazaria Wangsa Maju mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kompleks Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, beliau meminta campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan isu tersebut susulan peniaga hilang mata pencarian selepas dihalang menjalankan perniagaan di tapak asal.

Menurutnya, perkara tersebut perlu diselesaikan secara adil dengan situasi menang-menang antara peniaga dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Memandangkan isu ini telah berlarutan maka kami ingin merayu Dr Mahathir tampil campur tangan sementara menunggu DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan mencari kaedah penyelesaian.

"Sekali lagi Ikhlas merayu supaya mereka diberi peluang untuk meneruskan perniagaan di tapak asal tanpa dihalang mana-mana pihak. Ikhlas mencadangkan hak penganjuran itu dikendali oleh pihak DBKL buat sementara waktu," katanya.

Peserta membuat demonstrasi aman mendesak Dr Mahathir campur tangan isu peniaga Uptown Danau Kota semalam.
Peserta membuat demonstrasi aman mendesak Dr Mahathir campur tangan isu peniaga Uptown Danau Kota semalam.

Mohd Ridzuan turut menyerahkan memo bantahan isu tersebut kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abu Bakar Yahaya.

Sementara itu, Abu Bakar memaklumkan akan turun padang dan mengenal pasti isu berbangkit serta mencari penyelesaian terbaik dalam menjaga keharmonian pihak yang terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 500 tapak disediakan di tapak Bazaria Wangsa Maju untuk menempatkan peniaga Uptown Danau Kota sebagai menyelesaikan aduan kacau ganggu dan halangan oleh penduduk setempat.

Operasi tapak baharu itu bermula 1 Januari lalu, sementara tapak lama ditutup sepenuhnya pada 31 Disember tahun lalu melalui tindakan penguatkuasaan DBKL dan pembatalan lesen peniaga.