1,198 kes keldai akaun direkod di NS tahun lalu

Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan banting mesej kesedaran keldai akaun yang akan di pasang di seluruh Negeri Sembilan.
Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan banting mesej kesedaran keldai akaun yang akan di pasang di seluruh Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 1,198 kes keldai akaun direkodkan pada tahun lalu melibatkan kerugian RM16.5 juta.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, jumlah itu meningkat 8.4 peratus atau 93 kes berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 1,105 kes dengan kerugian RM12.2 juta.

"Masyarakat perlu sedar yang mereka berdepan risiko dikenakan tindakan jika didapati nombor akaun mereka dijadikan keldai akaun.

"Berkemungkinan ada yang menerima bayaran tertentu apabila membenarkan nombor akaun mereka digunakan tapi tanggungjawab sepenuhnya pada mereka jika didapati bersalah," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan banting bahaya keldai akaun kepada pemilik restoran dan semua Balai Polis Daerah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohamad berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif pihaknya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Selain kita beri ceramah dan penerangan berkenaan pelbagai kes jenayah komersial, kita gerak satu langkah ke hadapan dengan sebarkan mesej pada banting.

"Pada banting itu kita sertakan website dan nombor infoline iaitu 013-2111222 supaya masyarakat boleh terus bertindak semak nombor akaun mereka jika ada keraguan kerana ada yang tidak sedar nombor akaun mereka disalah guna," katanya.

Sementara itu katanya, dalam tempoh Januari sebanyak 86 kes jenayah komersial direkodkan melibatkan 104 tangkapan dan 58 dituduh di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Kes paling tinggi adalah belian atas talian iaitu 35 kes diikuti pinjaman tidak wujud (26 kes) dan Macau Scam (11 kes)," katanya.

Dalam pada itu Mohamad berkata, faktor peningkatan kes itu antara lain disebabkan kesedaran masyarakat untuk membuat laporan polis jika menjadi mangsa penipuan.