Abdul Hadi sokong Tun M

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhasrat untuk mengubal dasar pendidikan negara mengikut acuan Islam sebenar.

Abdul Hadi berkata, sudah sampai masanya dasar pendidikan negara diubah dengan mengikut perubahan yang bersesuaian berdasarkan keadaan semasa masyarakat di negara ini.

Bahkan beliau berkata, sistem pendidikan negara Eropah tak sama antara Britain dengan Jerman, dengan Perancis, tak sama antara satu sama lain.

"Mereka dengan Britain tak sama dan takkan kita nak sama dengan Britain.

"Kita kena lihat masyarakat kita sendiri yang sekarang ini sudah berubah. Orang Islam sudah meningkat 65 peratus, orang Cina hanya 25 peratus sahaja, India beberapa peratus sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya selepas selesai kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Namun, Ahli Parlimen Marang itu kecewa dengan suara pemimpin mewakili minoriti rakyat namun tidak merujuk secara khusus kepada mana mana pemimpin yang disifatkannya sebagai melampau.

Beliau berkata, agama Islam perlu diambil kira dan dalam masa sama ia tidak menghalang hak rakyat yang bukan beragama Islam.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita pergi ke negara lain, sekolah bangsa Tamil, sekolah bangsa Cina tiada. Tempat kita ni sudah beri hak kepada kaum lain tapi nak minta lebih lagi. Di Indonesia sebagai contohnya tidak dibenar," katanya.

Beliau juga melihat peruntukan sebanyak RM50 juta masing-masing untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil adalah terlalu besar dan agak melampaui batas.

"Sebab 'dia' minta lebih sangat, suara 'dia' lebih sangat. Saya setuju dengan Dr Mahathir supaya buat perubahan berdasarkan keadaan kini apa lagi kita kena sedar dunia Islam dunia yang sudah berkembang.

"Bukan zaman penjajah lagi, zaman orang Islam sudah merdeka yang balik kepada kemerdekaan yang sebenar, Islam yang sempurna dalam segala aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial...

"Cuma perlu kepada perubahan, perubahan mengikut keadaan sekeliling dan sepatutnya kaum lain kena hormatilah apa yang realiti kepada negara kita," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dipetik berkata, kerajaan akan memperkenalkan sistem pendidikan lebih terarah kepada program membentuk rakyat yang lebih berwibawa dan mampu memajukan Malaysia dengan lebih pesat daripada dahulu dan sekarang.

“Dasar pendidikan kita bukan sahaja untuk memberi ilmu tetapi juga untuk membentuk peribadi yang baik. Untuk ini, kita perlu tumpu ajaran agama kita (Islam)...

"Saya harap semua anggota warga pendidik akan ambil tumpuan perkara ini.

“Kita akan ubah kurikulum dalam sekolah-sekolah supaya tumpuan diberi penguasaan ajaran Islam yang sebenar, penguasaan bahasa Inggeris dan penguasaan sains serta teknologi....

"Dengan ini kita fikir kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu baru baru ini.