Air Selangor catat pencapaian terbaik NRW

Sejumlah RM161.9 juta telah dibelanjakan pada tahun 2019 untuk kerja-kerja penggantian 168.34 km paip lama dan yang kerap pecah.
Sejumlah RM161.9 juta telah dibelanjakan pada tahun 2019 untuk kerja-kerja penggantian 168.34 km paip lama dan yang kerap pecah.
A
A
A

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya merekodkan penurunan kadar purata Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water (NRW) ke paras 28.73 peratus pada 2019, iaitu penurunan sebanyak 1.78 peratus berbanding 30.51 peratus tahun 2018.

Pencapaian itu adalah jauh lebih baik daripada sasaran Air Selangor pada tahun 2019 iaitu 29.5 peratus.

Pencapaian itu diperoleh menerusi perancangan rapi dan pelaksanaan beberapa inisiatif dalaman yang berterusan sejak tahun 2017.

Dalam tempoh tiga tahun, kadar NRW berjaya dikurangkan sebanyak 2.79 peratus iaitu daripada 31.52 peratus kepada 28.73 peratus.

Bersandarkan kepada rekod itu, Air Selangor positif bahawa sasaran penurunan sebanyak 1 peratus kadar NRW setiap tahun akan dapat dicapai untuk tahun-tahun berikutnya.

Penurunan pada kadar 1.78 peratus NRW bagi 2019 adalah satu jumlah yang besar iaitu menyamai dengan 64.65 juta liter sehari (JLH), 11,754 lori tangki sehari atau 26 kolam renang bersaiz Olimpik.

Penurunan NRW itu secara langsung menyumbang kepada penjimatan kos operasi Air Selangor sebanyak RM35.4 juta dan pencapaian itu turut disumbangkan oleh kejayaan syarikat dalam mengurangkan kadar kes paip pecah.

Sebanyak 2,787 kes paip pecah telah direkodkan pada tahun 2019, berkurangan sebanyak 28 peratus berbanding 3,871 kes pada 2018 dan daripada jumlah itu 295 kes adalah disebabkan pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Ini membuktikan bahawa pada tahun 2019 Air Selangor mencapai kemajuan yang amat baik apabila hanya sembilan kes paip pecah direkodkan bagi setiap 100km berbanding tanda aras antarabangsa terhadap Indeks paip pecah (PBI) iaitu 13 kes paip pecah bagi 100km setahun.

Bagi kes paip bocor pula, peningkatan kes dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 108,759 bilangan kes berbanding 104,033 kes pada tahun 2018.

Peningkatan itu merupakan kesan positif program pengesanan kebocoran yang dilaksanakan secara dalaman pihak syarikat.

Kadar kehilangan air juga berjaya dikurangkan menerusi pemasangan sensor pada paip utama bagi membolehkan pemantauan tekanan air dilakukan dan mengesan 'pressure transient'.

Data yang diperoleh Pusat Kawalan Operasi Pintar melalui pelan itu akan memastikan kerja pembaikan paip dapat dilaksanakan dengan lebih proaktif.

Selain itu, sistem SCADA dan Data Logger turut digunakan untuk memantau limpahan air dengan mengawal paras air di 1,601 kolam air dan 731 rumah pam.

Penggantian sebanyak 318,839 meter lama dan meter tersekat ke meter baharu pada tahun 2019 berjaya mengatasi kehilangan komersial yang disebabkan bacaan meter tidak tepat.

Kerjasama Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut menyumbang peratus kepada pencegahan aktiviti kecurian air akibat sambungan haram pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kerja-kerja mengesan kebocoran.
Kerja-kerja mengesan kebocoran.

Pada tahun 2020, kira-kira RM171.63 juta diperuntukkan berbanding RM164 juta pada 2019 untuk pelaksanaan program menurunkan kadar NRW dan kerja-kerja penggantian meter.

Selain itu, sebanyak RM144.5 juta diperuntukkan untuk kerja penggantian paip lama dan kerap pecah berbanding RM161.9 juta pada 2019 yang dibelanjakan bagi penggantian paip sepanjang 168.34km.

Air Selangor yakin bahawa inisiatif dan program berterusan untuk mengurangkan kadar NRW akan terus menghasilkan kadar penurunan NRW yang baik menjelang hujung tahun ini.