Kanser paru-paru akibat tabiat merokok

Alahan pada saluran pernafasan mengakibatkan batuk teruk

TABIAT merokok menjadi faktor utama penyebab kanser paru-paru.
TABIAT merokok menjadi faktor utama penyebab kanser paru-paru.
A
A
A

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Soalan 1:

DOKTOR, suami saya seorang perokok tegar sejak di bangku sekolah. Kini usianya sudah 42 tahun. Saya risaukan 'hobinya' yang kuat merokok.

Buat masa ini dia hanya batuk-batuk sedikit terutama pada waktu malam. Adakah itu kerana rokok? Doktor, apakah peringkat penyakit berkaitan paru-paru akibat merokok?

Adakah semuanya akan bertukar menjadi kanser?

- ISTERI RISAU, NORMALA ABAS, 39, KUALA LUMPUR

Jawapan:

Puan, banyak faktor menjadi penyebab kepada kanser paru-paru, namun tabiat merokok masih merupakan faktor utama penyakit tersebut.

Artikel Berkaitan:

Walaupun begitu, di Malaysia terdapat juga kes-kes yang kerap berlaku bukan dalam kalangan perokok. Merokok dikenal pasti sebagai punca risiko yang boleh dicegah.

Kebanyakan perokok menunjukkan gejala mengalami batuk yang kronik disebabkan oleh alahan pada saluran pernafasan, pengeluaran kahak atau lendir yang berlebihan.

Batuk yang berpanjangan, perubahan keadaan pada batuk atau batuk berdarah perlu diambil perhatian. Sesak nafas, turun berat badan atau sakit dada merupakan antara gejala lain yang perlu diberi perhatian, tetapi hanya dapat dilihat ketika berada pada tahap akhir penyakit tersebut.

Merokok juga boleh mengakibatkan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jantung.

PEROKOK tegar berisiko tinggi menghidap kanser paru-paru.
PEROKOK tegar berisiko tinggi menghidap kanser paru-paru.

Bersedialah dengan tekanan darah tinggi, arteri koronari, strok dan sakit yang melibatkan pernafasan seperti emfisema serta asma bertambah teruk.

Berkaitan dengan kanser paru-paru tidak semua perokok akan mendapat kanser paru-paru. Bagaimanapun risiko meningkat kepada perokok tegar.

Soalan 2:

Doktor, adakah penyakit kanser paru-paru ada peluang untuk sembuh? Jika ya, peringkat yang bagaimana mudah untuk sembuh?

Saya ada mendengar makanan tertentu seperti jus jeruk alami, delima, lemon, brokoli dan sebagainya yang dikatakan boleh membantu untuk mengeluarkan nikotin dari paru-paru akibat merokok, benarkah doktor?

- INSAN MUSYKIL, IMAN HANAFI, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN

Jawapan:

Berhenti merokok dapat mengurangkan risiko dengan ketara.

Tuan, kanser paru-paru mempunyai empat tahap. Pada tahap satu dan dua (peringkat awal) ketumbuhan masih terhad pada satu bahagian paru-paru dan belum merebak kepada bahagian kelenjar limfa. Pada tahap itu kanser paru-paru masih boleh dirawat dengan pembedahan.

Pesakit perlu menjalani rawatan kemoterapi tambahan, radioterapi atau imunoterapi sebulan selepas pembedahan bagi mengurangkan risiko kanser muncul kembali.

Untuk makluman tuan, bagi kanser yang sudah berada pada tahap tiga dan empat (peringkat ahir), ketumbuhan sudah merebak ke bahagian kelenjar limfa atau bahagian yang lebih dalam seperti otak, tulang atau paru-paru sebelah.

Pesakit lazimnya tidak boleh disembuhkan, yang berakhir dengan kematian. Bagaimanapun terdapat rawatan yang berkesan, tetapi mempunyai kos yang sangat tinggi. Ia bagi mengawal gejala kanser tersebut dan memperbaiki kualiti hidup.

Dalam sesetengah kes, ia dapat memanjangkan jangka hayat seseorang. Bagaimanapun, semua rawatan tersebut bukanlah penyembuhan sepenuhnya.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengesan awal kanser paru-paru pada peringkat awal ketumbuhan kerana ia akan lebih mudah dibuang melalui pembedahan.

Penyebab kanser paru-paru bukanlah nikotin, tetapi tar dan bahan kimia karsinogenik lain yang terkandung dalam rokok.

Nikotin adalah komponen yang mengakibatkan ketagihan yang menyebabkan sukar berhenti merokok. Tidak ada diet khusus yang dapat menghindar atau menyembuhkan kanser paru-paru.

Bagaimanapun, diet berasaskan tumbuhan dengan memperbanyakkan sayur-sayuran, buah-buahan dan fiber serta kurangkan pengambilan daging merah adalah kaedah yang disyorkan.

Selain itu, senaman sederhana dan elak pengambilan minuman keras juga memberi faedah. Paling penting jauhi rokok, rokok elektronik (vape) dan pencemaran udara.

DR ANAND SACHITHANANDAN.
DR ANAND SACHITHANANDAN.

ANEKDOT

KANSER paru-paru:

Melalui proses transformasi yang mengakibatkan sel-sel membiak luar kawalan. Sel-sel ini akan membentuk suatu tumbuhan atau tumor yang berlainan daripada tisu asal.

Tumor adalah merbahaya kerana ia menggunakan oksigen, nutrien dan ruang sel-sel sihat seterusnya merebak, akibatnya, ia merosakkan atau mengurangkan upaya tisu berfungsi secara normal.

Jenis kanser paru-paru

Kanser paru-paru biasanya dibahagi mengikut dua kumpulan besar bergantung kepada jenis-jenis sel iaitu:

i) 'Kanser paru-paru bukan sel kecil' boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

- Adenocarcinoma (30 ke 40 peratus)

- Squamous cell carcinoma (30 peratus)

- Large cell cancer (10 peratus)

ii) 'Kanser paru-paru sel kecil' (20 peratus) iaitu sangat jarang didapati, tetapi sel-sel kanser membiak secara pantas dan telah merebak ke bahagian badan yang lain semasa didiagnos.

Jenis-jenis lain kanser paru-paru yang jarang ditemui ialah carcinoid tumor dan limfoma (5 peratus)

Penyebab kanser paru-paru

Menghisap rokok iaitu hampir 90 peratus, sama ada aktif atau pasif, adalah penyebab utama kanser paru-paru.

Asap rokok mengandungi lebih dari 4,000 bahan kimia dan banyak daripadanya telah dikenal pasti penyebab kanser paru-paru. Menghisap 20 batang rokok sehari berisiko sebanyak 20 hingga 25 kali ganda mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

Apabila seseorang berhenti merokok, risiko mendapat kanser paru-paru beransur kurang.

Lebih kurang setelah 15 tahun berhenti merokok, risiko mendapat kanser paru-paru berkurangan sama seperti seseorang yang tidak pernah merokok.

Menghisap curut dan paip juga meningkatkan risiko menghidap kanser paru-paru.

Sebab-sebab lain kanser paru-paru ialah:

- Pencemaran udara dari asap kereta, asap kilang dan lain. Pendedahan kepada asbestos memberi risiko mendapat kanser paru-paru sebanyak sembilan kali ganda. Gabungan antara asap rokok dan asbestos meningkatkan risiko setinggi 50 kali ganda.

- Penyakit paru-paru seperti tuberkulosis dan penyakit pulmonari obstruktif kronik juga meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat kanser paru-paru.

- Pendedahan kepada radon atau radium (bahan yang terjadi daripada uranium) juga adalah risiko kanser paru-paru.

- Pekerjaan yang terdedah kepada arsenik, kromium, nikel, hidrokarbon aromatik dan eter juga boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.Sumber: myhealth.gov.my

PROFIL

Dr Anand Sachithanandan

Pakar Perunding Kardiotorasik

Pusat Perubatan Subang Jaya