‘Inspektor Ramdan’ dihukum hakim Facebook

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEMAKIN moden dan berkembangnya teknologi pada hari ini maka semakin banyaklah salah guna teknologi di seluruh dunia, tidak kurang juga di Malaysia.

Paling dekat penyalahgunaan teknologi pada hari ini adalah berkaitan dengan media sosial iaitu buli siber.

Berdasarkan portal Kementerian Kesihatan, buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet.

Buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan dan dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.

Contoh terbaru yang boleh dikaitkan dengan buli siber ialah seorang remaja yang menyamar sebagai ‘Inspektor Ramdan’.

Buli siber terhadap ‘Inspektor Ramdan’ bermula selepas tembelangnya terbongkar selepas dia menghampiri dua anggota polis yang sedang membuat tugasan pemantau dan pencegahan samseng jalanan di Kilometer 19, Jalan Kluang, Batu Pahat, Johor pada Ahad lalu.

Dia yang lengkap beruniform Sang Saka Biru ketika itu memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Ramdan’ daripada Cawangan Risikan Operasi Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Curiga dengan tingkah laku ‘Inspektor Ramdan’, dua anggota polis itu membuat semakan terhadap motosikal dinaikinya.

Artikel Berkaitan:

Hasil semakan mendapati ‘Inspektor Ramdan’ yang memiliki pistol plastik tiruan jenama Boale & Toyavn buatan China P193, baju kalis peluru berlogo PDRM, seragam operasi polis lengkap beramulet pegawai kanan polis berpangkat inspektor, tali pinggang berlogo PDRM dan sepasang but berwarna hitam baru berusia 19 tahun.

‘Inspektor Ramdan’ kemudiannya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan, 36(1) Akta Senjata 1960 dan 89 Akta Polis 1967.

Belum pun dihadapkan ke mahkamah, remaja itu telah dijatuhi hukuman oleh ‘hakim-hakim’ di media sosial.

Gambar remaja itu bertebaran di media sosial. Gambar ketika dalam tahanan polis turut tersebar. Siapa yang sebarkan? Persoalan ini ditinggalkan.

Facebook dan Instagramnya terus diserang netizen yang menitipkan kata-kata kurang sopan seolah-olah tiada hari esok buat remaja yang merupakan pelajar sebuah kolej vokasional di daerah itu.

Tahukah anda bahawa selagi seseorang masih bergelar suspek, mukanya tidak boleh ditayangkan kepada umum, inikan pula ‘Inspektor Ramdan’ masih setahun jagung dan perjalanan hidupnya masih panjang.

Sedih dengan apa yang berlaku, seorang lelaki yang mendakwa sebagai abang kepada ‘Inspektor Ramdan’ meluahkan perasaan di Facebook sambil menjelaskan bahawa adiknya itu tidak seharusnya menerima hukuman sedemikian.

Katanya, kesalahan yang dilakukan oleh adiknya itu adalah kerana obses untuk menjadi seorang anggota polis.

Bagi seorang pengamal undang-undang, Haeme Hashim menjelaskan, pembulian secara maya atau siber lebih memberikan impak yang mendalam kepada mangsa buli berbanding pembulian secara fizikal,

Katanya, mangsa buli siber biasanya akan mengalami tahap kemurungan yang melampau kerana capaian pembulian siber lebih meluas di alam maya berbanding di alam nyata.

Jadi sudah tiba masanya pihak berkuasa mempercepatkan saranan dan hasrat Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo untuk membuat pindaan atau diperkenalkan undang-undang baharu berkaitan jenayah siber dan buli siber.

Jika satu akta khusus seperti yang diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah dapat diwujudkan di Malaysia, undang-undang itu bukan sahaja mampu menghindari dan melindungi seseorang daripada menjadi mangsa buli siber malah menjadi petunjuk bahawa kerajaan tegas dalam menangani permasalahan ini.