Thailand sahkan enam kes koronavirus, satu kritikal

Thailand hari ini mengesahkan enam kes baharu koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti di negara itu setakat ini ialah 25 termasuk seorang dalam keadaan kritikal. -Foto AFP
Thailand hari ini mengesahkan enam kes baharu koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti di negara itu setakat ini ialah 25 termasuk seorang dalam keadaan kritikal. -Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Thailand hari ini mengesahkan enam kes baharu koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti di negara itu setakat ini ialah 25 termasuk seorang dalam keadaan kritikal.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Suwanchai Watthanatingcharoen berkata, enam pesakit itu terdiri daripada empat rakyat Thailand – iaitu pasangan yang baru pulang dari Jepun, dua pemandu kereta sewa yang mengambil pelancong China di Hua Hin manakala dua lagi ialah pelancong China.

Beliau berkata, setakat ini tidak jelas di mana pasangan Thailand terbabit dijangkiti virus itu.

“Seorang warga emas Thailand berusia 70 tahun yang merupakan pesakit batuk kering (TB) telah didiagnosis dengan koronavirus dan berada dalam keadaan kritikal ketika dipindahkan dari sebuah hospital swasta ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura.

“Kami kini memantau dengan teliti keadaan pesakit itu. Kami sedang berusaha mendapatkan rawatan terbaik untuk pesakit tersebut,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Ketika ini, terdapat 25 kes koronavirus yang telah disahkan di Thailand yang menyaksikan 19 daripada mereka adalah rakyat China manakala bakinya penduduk tempatan.

Tujuh belas daripada mereka masih dirawat di hospital manakala lapan telah dibenarkan keluar dan pulang ke rumah masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada cadangan sekat warga China kecuali dari Wuhan, Wilayah Hubei

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat lepas, Thailand mengesahkan kes pertama jangkitan manusia kepada manusia di negara itu selepas seorang pemandu teksi diuji positif.

Sebelum itu, seorang wanita Korea Selatan berusia 42 tahun telah diuji positif bagi koronavirus selepas berkunjung ke Thailand.

Suwanchai berkata, Kementerian Kesihatan Awam setakat ini tidak jelas di mana pesakit tersebut dijangkiti virus itu.

“Kami sedang menyelaras dengan pihak berkuasa yang relevan di Korea sementara menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

Media melaporkan bahawa wanita itu yang kembali ke Korea Selatan dari Thailand pada 19 Januari telah menunjukkan gejala penyakit tersebut enam hari kemudian.

Sementara itu, sejumlah 142 rakyat Thailand dari Wilayah Hubei termasuk ibu kotanya Wuhan dijangka tiba di Lapangan Terbang U-Tapao yang terletak kira-kira 150 kilometer di tenggara bandar tersebut pada jam 8.30 malam (waktu tempatan) hari ini.

Mereka akan diperiksa dan dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. - Bernama