12 Bahagian Bersatu Pahang bersidang minggu depan

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 12 daripada 14 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang boleh memulakan persidangan peringkat cawangan bermula minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Negeri (JPPN) Pahang, Dr Omar Jamaludin berkata, persidangan itu bagi memilih Ketua Bahagian, Ketua Armada dan Ketua Srikandi Bahagian, termasuk ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian masing-masing.

Menurutnya, bagaimanapun hasil dari proses penamaan calon pada Januari lalu, mendapati lapan lagi Bahagian lain akan melalui proses pengundian ditetapkan JPPN.

"Pemilihan pada Januari lalu, terdapat beberapa bahagian yang sudah memperoleh mandat kepimpinan akar umbi sebagai Ketua Bahagian adalah Bahagian Paya Besar, Mohd Yazid Mohd Yunus; Bahagian Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah; Bahagian Bentong, Roslan Hassan, dan Bahagian Cameron Highlands, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali.

"Selain ketua bahagian, empat jawatan bagi Ketua Armada dan empat Ketua Srikandi bersama AJK menang tanpa bertanding," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, pemilihan pada kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di lima Bahagian bagi jawatan Ketua Bahagian.

"Lima Bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Bahagian Temerloh, Bera, Kuantan, Kuala Krau dan Raub.

"Saya yakin antara Bahagian menjadi tumpuan ialah Bahagian Jerantut apabila Pengerusi Bersatu negeri, Wan Mohd Shaharir Wan Abdul Jalil akan dicabar oleh Tengku Mohd Ali Raja Daud," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Omar berkata, pertandingan di Bahagian Temerloh dijangka mencuri tumpuan apabila Mohd Anuar Aziz dicabar oleh bekas veteran UMNO dan bekas ahli Parlimen Jerantut, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang bersedia menawarkan diri bagi jawatan Ketua Bahagian selain turut dicabar Datuk Mohd Rofaie Mohd Hamdan dalam pertandingan bagi jawatan sama.

Ditanya mengenai senarai rasmi pencalonan, beliau berkata, semua permohonan itu diterima JPPN Pahang pada hari ini.

Katanya, semua Bahagian boleh mendapatkan maklumat rasmi senarai calon melalui Setiausaha Badan Perhubungan Negeri selepas jam 7 malam ini.

"Senarai ini juga boleh diperoleh daripada semua Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bahagian (JPPB) yang bertugas di penempatan bahagian masing masing mulai esok.

"Bagi yang ingin melakukan bantahan atau aduan boleh berbuat demikian melalui emel ke jpp.bersatu@gmail.com bermula esok sehingga 14 Februari ini," katanya.

Beliau berharap semua urusan dan bantahan bagi pemilihan kali ini berjalan lancar.

"Saya juga meminta semua ahli Bersatu dapat membuat keputusan (pemilihan) secara rasional, telus dan penuh integriti," katanya.