X

Kindly register in order to view this article
!

PBT urus kutipan caj plastik di Selangor bermula Januari lalu

Loy Sian (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Kutipan Caj Beg Plastik Selangor di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.
A
A

PETALING JAYA - Kempen Tanpa Beg Plastik Negeri Selangor mendapat respon positif dalam kalangan masyarakat, namun keyakinan pengguna terhadap pengurusan kutipan caj beg plastik menunjukkan penurunan.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri meluluskan pelaksanaan serahan kutipan caj beg plastik 20 sen kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak 1 Januari lalu yang sebelum ini diurus oleh syarikat peruncit dan peniaga sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Langkah itu membolehkan jumlah kutipan dipantau dan dimanfaatkan bagi tujuan pengurusan peruntukan bagi program dan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan lebih berkesan serta diyakini.

"Sebelum ini terdapat pengguna mempersoalkan ke mana pergi kutipan 20 sen ini? Ada yang kutip 20 sen, tapi tak guna untuk jalankan aktiviti. Maka kerajaan negeri memikirkan kaedah penyelarasan untuk manfaat semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Taklimat Program Kutipan Caj Beg Plastik Selangor di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah.

Katanya, kerajaan negeri turut berharap usaha kempen #BebasPlastik itu mendapat kerjasama dari pelbagai agensi termasuk KPDNHEP, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Dasar dan kempen ini mengikut pelan tindakan digariskan ‘Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-use Plastics’ 2018-2030 dan selari hasrat kerajaan Selangor bagi mengurangkan penggunaan beg plastik, polistirena dan straw plastik.

"Saya menyeru kepada orang ramai bersama-sama mengurangkan dan mengelak menggunakan beg plastik dengan membudayakan penggunaan beg kitar semula ketika membeli-belah," katanya.

Kempen Hari Tanpa Beg Plastik mula dilaksanakan sejak 2010 dengan memilih hari Sabtu sebagai hari tanpa plastik sebelum diperluas kepada tujuh hari seminggu pada 1 Januari 2017.

Kempen ini diteruskan sehingga kini dengan caj 20 sen dikenakan kepada pengguna yang ingin mendapatkan plastik dan kutipan itu diuruskan kepada peruncit atau peniaga untuk CSR syarikat.