'Anwar tak perlu ganti Wan Azizah'

Wan Fauzuldin
A
A

KUANTAN – “Adalah lebih baik, jika semua blok parti dalam PH mematuhi dalam kesepakatan yang telah dibuat sebelum PRU14,” itu reaksi Naib Ketua PKR Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Ketua Amanah Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria yang meminta agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berada di kerusi itu sebelum diangkat menjadi perdana menteri ke-8.

Menurut Wan Fauzuldin, seperti yang telah dipersetujui sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri, Wan Azizah sebagai timbalan dan selepas itu baharulah Anwar perdana menteri seterusnya.

“Saya berpendapat tugas Anwar sebagai ahli parlimen dan selaku Ketua Umum PH sudah cukup memadai untuk beliau memberikan pandangan terhadap apa jua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Setakat ini, apa saja yang disuarakan Anwar, nampaknya diberi perhatian serius oleh kerajaan. Sehubungan itu, tidak timbul soal Anwar lebih berperanan atau berfungsi di dalam kerajaan hanya apabila beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, menerusi satu laporan sebuah portal, Dr Zaidi meminta jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada Anwar Ibrahim.

Menyentuh perkara itu, Wan Fauzuldin berkata, Wan Azizah harus diberikan ruang untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai timbalan perdana menteri di samping Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sehingga sampai masanya Anwar diangkat sebagai perdana menteri seterusnya.

Jelasnya, kedudukan Anwar sekarang adalah lebih baik kerana beliau mempunyai banyak masa dan ruang berada di akar umbi.

“Ini akan memberi peluang untuk beliau melihat dari luar tentang kemajuan kerajaan yang baharu ini sebelum beliau sendiri menerajuinya,” katanya.