KKM jalin kerjasama atasi malnutrisi kanak-kanak Orang Asli

Lee Boon Chye
Lee Boon Chye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli dalam menangani masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli berusia lima tahun ke atas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perkara itu dibangkitkan oleh pakar pediatrik dan sukarelawan yang terlibat dalam program 'outreach' (bantuan) di kampung-kampung Orang Asli seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi sedang mengumpulkan data dalam mengenal pasti jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat dan usaha itu dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.

"Bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, KKM mempunyai program pemulihan untuk kanak-kanak malnutrisi dan ia sepatutnya berterusan dengan program bantuan makanan oleh Kementerian Pendidikan apabila mereka masuk ke sekolah.

"Tapi sebahagian daripada kanak-kanak itu tercicir daripada sekolah dan akan mengalami masalah malnutrisi, jadi kita perlu cari satu kaedah untuk 'reach out' kepada golongan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'DRsforAll' di sini, hari ini.

Boon Chye berkata, 'DRsforAll' akan menyediakan lebih 10 kem 'outreach' perubatan kepada komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman di Pahang, Kelantan, Perak dan Selangor yang membolehkan golongan itu menerima perkhidmatan kesihatan termasuk pergigian.

Program selama 11 bulan melibatkan 30 sukarelawan termasuk doktor daripada Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia itu dijangka bakal memanfaatkan lebih 5,000 pesakit.

"Sokongan pihak swasta menerusi program seperti ini akan menguatkan lagi matlamat kerajaan dalam memastikan tidak ada yang tertinggal dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan walaupun di kawasan pedalaman yang mempunyai masalah akses," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: