KWSP jual hampir 8 juta saham AirAsia akhir bulan lalu

KWSP
KWSP
A
A
A

PETALING JAYA - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual 7.92 juta saham AirAsia Group Berhad pada akhir Januari lalu.

Menurut portal Freemalaysiatoday.com, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7.43 juta saham dijual pada 28 Januari dan baki 492,500 saham pada 29 Januari berdasarkan dua pemfailan berasingan di Bursa Malaysia.

"Selepas penjualan itu, KWSP masih mempunyai 210.4 juta saham yang mewakili 6.29 peratus kepentingan dalam AirAsia Group Berhad.

"Ini susulan laporan yang mendakwa AirAsia dan AirAsiaX menerima AS$50 juta rasuah daripada pembuat kapal terbang Airbus.

"Bagaimanapun AirAsia menafikan dakwaan tersebut," kata portal berkenaan.

Harga saham AirAsia mengalami kejatuhan semenjak syarikat penerbangan tambang murah itu menghentikan penerbangan ke Wuhan, China pada 23 Januari lalu berikutan penularan koronavirus.

Semalam Pengerusi AirAsia Group Bhd (AirAsia), Datuk Kamaruddin Meranun dan Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melepaskan jawatan eksekutif masing-masing bagi tempoh dua bulan berkuat kuasa serta-merta.

Ketika dagangan di Bursa Malaysia dibuka hari ini, Saham Kumpulan AirAsia terus merosot lima peratus manakala saham AirAsiaX mencatat kerugian lapan peratus.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, AirAsia dalam satu kenyataan menafikan dakwaan rasuah dengan menyatakan ia tidak terbabit dalam sebarang penyiasatan oleh UK Serious Fraud Office (SFO) terhadap pengeluar pesawat Eropah, Airbus atau pun diberikan sebarang peluang untuk menyediakan maklumat atau penjelasan kepada SFO.

Ia merujuk kepada sebuah artikel bertajuk 'AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say' dalam beberapa media berkaitan dengan 'Deferred Prosecution Agreement' yang dimeterai oleh Airbus SE dan SFO pada 31 Januari 2020.

Artikel itu mendakwa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus yang menyaksikan salah laku berkaitan penajaan sebuah pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

Sementara itu, SPRM juga memulakan siasatan terhadap dakwaan ke atas kedua-dua syarikat itu dengan menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom.