Pulau Pinang lancar projek 5G bernilai RM23.2 juta

Zairil (lima dari kiri) merasmikan Projek Demonstrasi 5G Pulau Pinang di Komtar tadi.
Zairil (lima dari kiri) merasmikan Projek Demonstrasi 5G Pulau Pinang di Komtar tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM23.2 juta bagi melaksanakan projek melancarkan projek demonstrasi 5G (5GDP) dengan kerjasama tujuh syarikat Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP).

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, tiga vertikal dikenal pasti iaitu bandar pintar, perindustrian dan pelancongan yang membabitkan 19 kes penggunaan dan sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menurutnya, peruntukan bagi tujuan berkenaan disediakan syarikat NFP dan NSP serta mendapat sokongan dari agensi berkaitan akademik, industri perkilangan dan pelancongan.

"Antara projek penggunaan yang dijalankan adalah 5G live streaming di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan akses internet berkelajuan tinggi ultra dan pengalaman pelancongan maya di Bukit Bendera," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Pengumuman Projek Demonstrasi 5G Pulau Pinang di Auditorium A, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Zairil berkata, Pulau Pinang kini sedang mengusahakan Pelan Induk Sambungan Pulau Pinang (PCMP) bagi memastikan penyediaan liputan melalui penyerapan oleh setiap isi rumah di negeri ini.

"Pelan induk itu dijangka siap pada September ini dan akan menjadi pelan bagi 10 tahun depan untuk melancarkan lebih banyak infrastruktur bersama penyambungan 5G bagi memastikan liputan yang boleh dinikmati oleh semua rakyat di negeri ini," katanya.

Katanya, Pulau Pinang kini mempunyai liputan yang sangat baik dan hampir semua kawasan ada liputan sambungan 4G tetapi kapasitinya masih rendah berbanding negeri lain.

Artikel Berkaitan: