Warga emas dikelar penyamun dengan golok

Sitah (kanan) menunjukkan tangan kanannya yang dikelar penyamun.
Sitah (kanan) menunjukkan tangan kanannya yang dikelar penyamun.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas selepas tangan kanannya dikelar sebanyak tiga kali oleh lelaki bertopeng dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Bakong di sini awal pagi semalam.

Kejadian jam 5 pagi itu berlaku ketika mangsa, Sitah Awang, 74, yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan bangun untuk mandi dan bersiap ke masjid bagi menunaikan solat Subuh.

Kesan pergelutan itu, Sitah menerima lebih sepuluh jahitan pada lengan selain dua jari kanan.

Sitah mendakwa sejurus membuka pintu bilik dia dikejutkan dengan kelibat seorang lelaki bertopeng sambil memegang sebilah golok yang kemudian telah menarik dan bertindak menutup mulutnya.

"Saya sempat bergelut dengan lelaki berkenaan sehingga rebah dan menyebabkan tangan kanan saya mengalami kecederaan.

"Sejurus rebah, dia kemudian bertindak meletakkan lututnya di atas badan bagi mengelakkan saya terus bertindak agresif," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bakong di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sitah melakonkan kembali detik cemas ketika dia membuka pintu biliknya dan bertembung dengan penyamun.
Sitah melakonkan kembali detik cemas ketika dia membuka pintu biliknya dan bertembung dengan penyamun.

Menurutnya, melihat kepada golok yang dipegang lelaki itu dia hanya teringatkan mati.

Katanya, dia terus melafazkan syahadah dan sambil menyebut nama tuhan dengan sekuat hati.

Sitah mendakwa, lelaki itu kemudian bertindak melarikan diri dan dia terus berteriak sekuat hati meminta bantuan.

Dia berkata, anaknya yang tinggal kira-kira 10 meter dari rumah datang untuk menghulurkan bantuan.

"Saya bersyukur kerana masih terselamat dan tidak mengalami kecederaan parah.

"Bagaimanapun perasaan takut dan trauma itu masih lagi ada dalam diri ini, sehingga sekarang saya tidak berani tinggal di rumah ini," katanya.

Sementara itu, Yazik Hussin, 58, berkata, sejurus mendengar teriakkan ibunya itu dia terus datang untuk memberikan bantuan.

Katanya, selepas memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis dia terus membawa ibunya ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.

"Saya bersyukur nyawa ibu selamat dan hasil pemeriksaan kami dapati penyamun tersebut melarikan wang tunai RM32 yang disimpan di dalam almari di ruang tamu," katanya.

Yazik menunjukkan pintu belakang yang dipecah masuk oleh penyamun.
Yazik menunjukkan pintu belakang yang dipecah masuk oleh penyamun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, suspek yang terlibat dengan kes berkenaan sudah berjaya ditangkap oleh anggota polis.