X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka masih beli air mentah Johor: Exco

Mohd Sofi (tengah) ketika membuat lawatan di Rumah Pam Air Gersik milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka masih membeli air mentah dari sungai Muar, Johor melalui Rumah Pam Grisek bagi memastikan sumber air bersih mencukupi untuk rakyat negeri itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, sehingga kini proses pembelian air sebanyak 160 juta liter sehari diteruskan untuk penyaluran air ke Empangan Durian Tunggal selain ke loji-loji utama di Melaka termasuk Loji Bertam, Loji Merlimau dan Loji Air Chin Chin.

Bagaimanapun katanya, catuan air berjadual masih diaktifkan.

Menurutnya, pihaknya juga dalam cadangan untuk memohon pembelian tambahan kira-kira 60 juta liter sehari memandangkan permintaan dan kegunaan sumber air yang tinggi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 220 juta liter sehari.

"Jumlah liter sehari itu telah termaktub dalam perjanjian Air Sungai Muar yang ditandatangani pada 10 Ogos 1991.

"Kita tidak pernah menghentikan pembelian tersebut dan keadaan itu masih berlaku, kita masih terima air dari Rumah Pam Grisek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, sebanyak RM6.35 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi pembelian air mentah dari Johor pada tahun lalu dan jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu RM5.03 juta.

"Sebab itu kita memang ada cadangan nak tambah pembelian air mentah, cuma paip yang ada sekarang telah maksimum dan kerja-kerja naik taraf paip yang sedia ada perlu dilakukan terlebih dahulu," katanya.

Baru-baru ini, kira-kira 60 peratus penduduk Melaka berdepan catuan bekalan air yang disalurkan daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Program bekalan air berjadual itu membabitkan 157,335 pemegang akaun SAMB, meliputi 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing 14 di kawasan Melaka Tengah, enam di Alor Gajah dan dua di Jasin.

ARTIKEL BERKAITAN: Fasa dua catuan air di Melaka jika sumber air masih kurang


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus