AirAsia perkenal laluan baharu KL-Ahmedabad

AirAsia mengumumkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Ahmedabad, India mulai 29 April ini.
AirAsia mengumumkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Ahmedabad, India mulai 29 April ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - AirAsia hari ini mengumumkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Ahmedabad, India mulai 29 April ini.

Dalam kenyataan hari ini AirAsia berkata, pengenalan laluan baharu itu adalah susulan pengumuman India pada tahun lepas untuk mengurangkan fi visa pelancong elektronik daripada AS$100 (e-visa pelancong - kemasukan berbilang kali setahun) kepada AS$10 (e-visa pelancong 30 hari bagi April hingga Jun; AS$5 bagi Julai hingga Mac) bagi warga Malaysia yang layak.

AirAsia berkata, laluan baharu itu akan menyemarakkan lagi pasaran yang rancak bagi 62 juta penduduk di Gujarat, India Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, syarikat penerbangan itu mencatat beberapa jualan tertinggi di semua destinasi penerbangannya ke India termasuk laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Ahmedabad.

“India merupakan destinasi yang mesti dilawati bagi kebanyakan pelancong dan kami yakin kempen promosi terkini dan rangkaian penerbangan yang diperluas akan meningkatkan pelancongan ke India dan menarik lebih ramai pelancong India untuk melawat Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Tambang termasuk semua bagi ahli dari Kuala Lumpur ke Ahmedabad ketika ini dibuka untuk tempahan di airasia.com daripada RM199 sehala bagi tempat duduk standard dan RM899 sehala bagi Premium Flatbeds yang pernah mendapat pengiktirafan.

Promosi ini akan berlangsung sehingga 19 Februari untuk perjalanan dari 29 April hingga 30 Oktober 2020.

Selain itu, AirAsia juga akan melancarkan kempen jualan “Chalo! India”untuk meraikan fi e-visa pelancong ke India yang telah dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pelancong boleh menikmati penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bhubaneswar, Cochin, Kolkata serendah RM229 sehala ke Jaipur, Delhi, Amritsar daripada serendah RM299 sehala.

“Chalo! India” atau Let’s Go! India merupakan kempen jualan AirAsia kepada pengunjung untuk menikmati keindahan budaya, landskap yang mengagumkan, seni bina menakjubkan dan hidangan yang lazat di negara itu.

"AirAsia terbang ke 18 bandar di India membabitkan 91 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke 12 bandar di India,” katanya. - Bernama