Ditolak Bersatu, kembali semula ke pangkuan Umno?

Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tersebar spekulasi kononnya lima ahli Parlimen yang keluar Umno ditolak permohonan untuk menyertai Bersatu dan kini berhasrat kembali ke Umno semula.

Bagaimanapun, sejauh mana kebenaran desas-desus tersebut masih belum jelas.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi meminta ahli-ahli Parlimen bebas itu wajar membuat penjelasan berhubung khabar angin tersebut.

“Lebih baik tanya mereka sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kesediaan Umno menerima kembali bekas-bekas ahli Parlimen yang meninggalkan parti untuk menyertai Umno semula, Ahli Parlimen Ketereh itu menyatakan, buat masa ini beliau belum boleh membuat sebarang komen lagi.

“Saya belum boleh komen,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh antara ahli Parlimen Umno yang keluar parti dan kini bergerak sebagai ahli Parlimen bebas ketika dihubungi Sinar Harian sekadar memaklumkan, beliau tidak tahu mengenai perkara yang dibangkitkan.

“Saya tak tahu, tak tahu,” katanya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sinar Harian turut menghubungi Exco Pemuda Umno, Ikmal Hazlan yang bapanya Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz iaitu antara pemimpin Umno yang keluar parti Disember lalu.

Menurut Ikmal Hazlan, setakat ini beliau masih samar-samar sama ada kumpulan bekas-bekas Ahli Parlimen Umno, termasuk bapanya yang keluar parti itu memohon untuk menyertai Bersatu atau Amanah.

“Saya selaku Exco Pemuda Umno yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanah Merah menyerahkan semua keputusan untuk penerimaan semula Ahli Parlimen Tanah Merah (Ikmal Hisham) kepada akar umbi Umno.

“Sebab lepas saja bapa saya umum keluar Umno, saya kena pastikan akar umbi Umno di Tanah Merah untuk tidak mengikut jejak langkah Ahli Parlimen mereka.

“Oleh itu, kalau bapa saya berhasrat untuk kembali semula kepada Umno, beliau perlu mendapatkan restu daripada akar umbi Umno di Parlimen ini terlebih dahulu,” katanya.

Ikmal Hazlan, bagaimanapun yakin, jika benar spekulasi ini, tentunya akar umbi dan Umno seluruh negara tiada masalah untuk menerima semula kemasukan ahli-ahli Parlimen yang ‘berhijrah’ sementara itu.

Manakala, Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Arif berkata, beliau tidak maklum berkenaan perkara ini.

Disember lalu, enam Ahli Parlimen bertindak keluar Umno selepas 36 wakil rakyat, senator dan ketua-ketua bahagian di Sabah mengumumkan keluar parti.