Rosmah masuk hospital, alami sakit belakang, tengkuk

Rosmah - Foto Bernama
Rosmah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah sakit belakang dan tengkuk yang serius dipercayai menjadi faktor isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini lewat malam semalam.

Menurut laporan portal Malaya Post, Rosmah ditemani Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika dimasukkan ke hospital lebih kurang jam 10.30 malam semalam.

Laporan itu turut menyebut kesakitan dialami Rosmah menyebabkan beliau tidak boleh duduk lama.

Najib dipetik sebagai berkata, beliau akan menemani isterinya sepanjang tempoh rawatan ini.

“Isteri saya tidak sihat dan perlu jalani rawatan. Saya akan bersama menemani isteri saya sepanjang tempoh rawatan," katanya semalam.

Selain itu, sumber rapat dengan bekas Perdana Menteri turut mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, Rosmah yang telah menerima rawatan di hospital itu sebelum ini akan menjalani rawatan lanjut pagi ini.

Semalam, perbicaraan rasuah terhadap Rosmah ditangguhkan selepas peguamnya memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa isteri bekas Perdana Menteri itu cuti sakit.

Artikel Berkaitan:

Peguamnya, Datuk Jagjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa Rosmah tidak sihat dan doktornya mengeluarkan sijil perakuan sakit pada 2 Februari lalu yang menyatakan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah.

Peguam itu juga mengemukakan laporan perubatan Rosmah kepada mahkamah yang mengatakan beliau dirawat di sebuah hospital swasta di ibu negara semalam.

Kes ditangguhkan pada hari Rabu.

Rosmah ketika ini berdepan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.