Pemandu mabuk perlu dihukum dengan keras

No Image Caption
A
A
A

MENURUT laman web lifesaver.com, terdapat lima buah negara yang mengenakan hukuman paling berat di dunia jika seseorang pemandu itu didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Sebagai contoh di Australia, nama pesalah akan disiarkan dalam akhbar tempatan, sementara di Poland, pesalah diwajibkan untuk mengikuti syarahan politik yang panjang selain kehilangan lesen memandu selama tiga tahun dan denda bernilai RM6,700.

Sementara itu, undang-undang di Malaysia menetapkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Kesalahan Seksyen 41 Akta 333 pula memperuntukkan mana-mana individu yang didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun selain dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Ini bermakna hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di Malaysia boleh dikatakan antara yang tertinggi di dunia.

Bagaimanapun, disebabkan berlaku beberapa kejadian kemalangan membabitkan pemandu mabuk sejak akhir-akhir ini, terdapat desakan supaya kerajaan memberikan hukuman yang lebih berat ke atas pemandu mabuk.

Ekoran daripada itu, Kementerian Pengangkutan telah mengambil langkah untuk mengkaji semula undang-undang sedia ada dan bersedia untuk mengenakan hukuman lebih keras.

Artikel Berkaitan:

Justeru, langkah yang bakal diambil oleh kerajaan perlu disambut baik oleh semua pihak kerana kita semua mahu melahirkan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya tidak mengambil mudah bahaya memandu dalam keadaan mabuk.