Persepsi rasuah bertambah baik

A
A
A

Sewaktu warganegara kita yang berketurunan Cina sibuk bersiap untuk menyambut Tahun Baru Cina, banyak akhbar pada 24 Januari 2020 menyebarkan berita baik bagi Malaysia berkaitan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index atau CPI) 2019 yang diterbitkan oleh Transparency International.

Apabila Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan mengumumkan perkembangan positif itu pada 23 Januari lalu, beliau menjelaskan bahawa pembaikan imej Malaysia didorong oleh tindakan tegas kerajaan dalam merungkai pelbagai skandal negara seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd (SRC), FELDA dan Tabung Haji.

Nampaknya usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memperbaiki prestasi negara dalam pembanterasan rasuah sudah mula menampakkan hasil.

Reputasi CPI Malaysia untuk tahun 2019 boleh disyukuri kerana ia melonjak 10 mata tangga dari tempat 61 pada tahun 2018 hingga ke tempat 51. Ia merupakan pencapaian negara dalam indeks global yang melibatkan 180 negara di seluruh.

Seperti yang kita semua ingat, bulan Mei 2018 merupakan permulaan fasa peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) ke pada kerajaan PH. Dari tangga 62 bagi CPI tahun 2017, negara kita hanya meningkat satu mata tangga iaitu ke tangga 61 selepas tumbangnya kerajaan BN.

Selain lonjakan tempat dalam kalangan 180 buah negara dunia, Malaysia mencatatkan peningkatan skor sebanyak enam mata daripada skor 47 kepada 53. Sudah tentu itu amat memberangsangkan.

Skor CPI ditentukan mengikut 13 tinjauan dan penilaian daripada kumpulan pakar yang berkaitan. Ia bersandarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara, mengikut skala antara sifar yang dianggap sebagai paling rasuah dengan 100 yang dikira sebagai paling bersih.

Usaha kerajaan PH membongkar pelbagai skandal meliputi agensi pelaburan berkepentingan awam adalah satu usaha yang dihargai rakyat Malaysia yang prihatin serta sayang akan pembangunan di Malaysia. Pada masa yang sama ia diperhatikan oleh dunia.

Artikel Berkaitan:

Kita sudah mula melihat bagaimana beberapa pemimpin politik sudah didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.Faktor lain yang mempengaruhi peningkatan CPI Malaysia ialah kebebasan media untuk terus membongkar kes atau skandal mega demi kepentingan awam.

Satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini adalah usul supaya anggota kerajaan mengisytiharkan aset masing-masing. Ini memperbaiki lagi imej kerajaan walaupun ia tidak dihargai oleh mereka yang bersikap sinis.

Sebagai mantan ahli (2016-2019) Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang menjaga kepentingan rakyat berhubungan dengan SPRM, saya mengucapkan syabas kepada rakyat Malaysia serta kerajaan yang menunjukkan tekad serta kesungguhan yang mesti disokong.

Saya berpendapat bahawa kejayaan negara Malaysia dalam usaha memperbaiki persepsi tentang rasuah perlu dihebahkan seluas-luasnya. Usaha ini mestilah terus digalas oleh setiap lapisan rakyat.

Semoga usaha pembanterasan rasuah yang terus dipertingkatkan membolehkan persepsi rasuah di negara Malaysia melonjak lagi untuk tahun 2020 ini, insya-ALLAH.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP