X

Kindly register in order to view this article
!

Mengapa dakwah syok sendiri?

A
A

Pada lapan tahun yang lalu, sebuah NGO dakwah telah mengumpulkan pelbagai pendakwah daripada pelbagai agensi dakwah kerajaan dan NGO.

Satu pelan strategik dakwah kebangsaan telah diputuskan secara terperinci. Ringkasnya, ia menyasarkan visi bahawa pada tahun 2020, sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia diberitahu tentang Islam yang sebenar.

Maka rancaklah street dakwah, rancaklah dialog interfaith, rancaklah ceramah bagaimana berdakwah dalam masyarakat multibudaya.

Tetapi sekarang umat Islam termasuk para pendakwah sendiri tidak menggegarkan lagi. Bukan sekadar visi dakwah 2020 tidak tercapai tetapi semakin ramai termasuk Muslimin sendiri yang mendapat maklumat yang salah tentang Islam.

Kita boleh salahkan kuasa-kuasa besar seperti Barat dan China yang memonopoli media dan ekonomi. Kita boleh salahkan negara India kerana menzalimi Zakir Naik. Kita boleh salahkan ultra kiasu kerana tidak menghormati ketuanan Melayu.

Bahkan ada pendakwah terkenal yang menyalahkan ayahnya sendiri di media kerana menipu harta Muslimin walaupun ayahnya yang bukan Muslim sudah lama meninggal dunia! Salahkan semua kecuali pelan strategik sendiri.

Sebenarnya saya telah beri amaran keras dalam mesyuarat dakwah pelbagai NGO dan agensi bahawa dakwah kita sejak dari awal adalah sekadar bersifat mikro dan kosmetik.

Nampak megah dan menggegarkan pada awalnya tetapi hakikatnya tetap mikro dan kosmetik.

Saya bagi contoh tentang projek menjemput Zakir Naik berceramah di Bukit Jalil pada tahun 2016. Pada masa itu, saya telah menyuarakan pendapat saya bahawa saya tidak setuju dengan projek ini di rencana Sinar Harian dan kepada penganjur.

Sekali lagi saya kata bahawa ini hanya dakwah mikro dan kosmetik. Selepas beberapa individu yang dikatakan ‘bukan Muslim’ terus melafazkan syahadah dengan terbuka dan glamor di stadium, segala kritikan saya diketepikan.

Salah seorang penganjur menulis artikel bahawa kritikan saya jelas ‘terbukti’ salah dan dengan megahnya dia isytihar bahawa rakyat Muslimin Malaysia kini sudah sedar tentang dakwah multibudaya hasil daripada projek Zakir Naik di Stadium Bukit Jalil. Katanya, ini adalah hasil dakwah mega high impact.

Apa masalah mindset dakwah di sini? Seperti yang saya sebut dalam artikel minggu lalu, masalah utama kita ialah kita berfikir sebagai seorang pendakwah birokrat. Sebagai birokrat, kita lebih cenderung kepada dakwah mega walaupun pada hakikatnya dakwah mega ini sebenarnya adalah bersifat mikro dan kosmetik, bukan makro pun.

Hanya kita terasa megah dan makro kerana buat ceramah dakwah di stadium. Ini umpama seorang yang berminda kerdil memandu kereta besar dan mewah, lalu terasa dirinya berminda besar dan makro! Ribuan yang hadir di stadium sebenarnya hanya sekadar penonton drama.

Zakir Naik yang main samba dakwah. Penonton tidak main samba dakwah pun dan tidak pun menunjukkan minat untuk main samba secara serius.

Ribuan yang hadir di stadium menyaksikan aksi dakwah Zakir Naik, berapakah yang benar-benar serius menjadi seorang pendakwah? Tetapi yang menjadi persoalannya ialah dilaporkan bahawa projek ini telah berjaya ‘menyedarkan’ rakyat tentang tanggungjawab dakwah.

Penganjur mungkin akan berhujah bahawa objektifnya hanya sekadar ‘memberi kesedaran’ tentang dakwah. Bahkan ada yang sibuk buat kursus dakwah tetapi masih tidak mampu memperkasakan dakwah. Mengapa?

Buatlah perbandingan dengan kursus nikah yang diwajibkan dan sudah lama dilaksanakan, kita lihat statistik perceraian makin tinggi atau kekal tinggi.

Berapa ramai graduan ijazah dakwah dan perbandingan agama dari pelbagai universiti Malaysia dihasilkan tetapi kewujudan para graduan ini dalam persada dialog interfaith tidak kelihatan sama sekali.

Minda birokrasi yang mengutamakan KPI kosmetik dan mega telah menipu diri sendiri.

Sejauh manakah institusi-institusi dakwah sudi bermuhasabah diri?

*Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis UIAM


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus