Dadah, alkohol, gangguan personaliti punca masalah mental

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada Rabu negara digemparkan dengan kejadian amuk di Yan, Kedah yang meragut nyawa dua kanak-kanak. Bagaimanapun, ia bukan kejadian terpencil dengan pelakunya sering dikaitkan dengan dua masalah utama – dadah atau penyakit mental, atau kedua-duanya.

Menurut pakar sakit jiwa, dadah dan masalah kesihatan mental saling berkaitan. Begitu juga dengan mereka yang ketagihan alkohol.

Pakar Psikoterapi dan Kaunseling, (Kemurungan dan Kebimbangan) Access Counseling Services Dr Meriam Omar Din berkata faktor dadah dan alkohol boleh menyebabkan seseorang mengalami halusinasi dan delusi selain berkelakuan ganas sehingga bertindak di luar kawalan.

"Malah, pengambilan dadah sintetik seperti syabu atau pil kuda juga boleh membawa kesan agresif sehingga ke peringkat keganasan atau halusinasi yang mana penagih tidak lagi sedar akan apa yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden kematian dua kanak-kanak itu yang dikelar oleh seorang penagih dadah yang mengamuk. Tragedi itu yang kelima sejak Oktober 2016 angkara ketagihan dadah.

Pada masa sama, Dr Meriam tidak menolak bahawa mereka yang terlibat dalam kejadian seperti ini turut mengalami gangguan personaliti termasuk masalah perhubungan interpersonal selain ketidakupayaan mengawal emosi yang keterlaluan.

“Suspek tiada kemahiran dalam menyelesaikan masalah interpersonal, menjadi terlalu pendiam dan akhirnya akan menyerang orang lain secara kejam apabila tidak lagi dapat menahan perasaannya. Mungkin, suspek juga mempunyai masalah lain yang datang bertimpa-timpa,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata jika seseorang mempunyai tanda-tanda berisiko seperti boleh mengancam orang lain, berdendam, perlakuan berpotensi menjadi ganas atau membahayakan diri sendiri, individu itu dinasihatkan mendapatkan khidmat kesihatan untuk mengenalpasti masalah yang dihidapi.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, perlu ada siasatan bagi mengenalpasti seseorang mempunyai simptom kesihatan mental yang dikhuatiri menyumbang kepada penyakit mental jika tidak dirawat dari awal. Hanya doktor psikiatri yang boleh membuat penilaian mengenai penyakit mental, jadi perlu ada laluan yang betul,” katanya.

Dr Muhammad Muhsin yang juga Naib Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) berkata orang sekeliling juga perlu cakna sekiranya ahli keluarga mereka mempunyai tanda-tanda kemurungan dan sebagainya serta segera membawa mereka mendapatkan rawatan awal. - Bernama