Penduduk terjejas koronovirus nekad lari dengan sampan

Lelaki itu turut membawa baldi dan bangku di dalam sampan ketika dia cuba menyeberangi Sungai Yangtze untuk lari dari Hubei. - FOTO: AGENSI
Lelaki itu turut membawa baldi dan bangku di dalam sampan ketika dia cuba menyeberangi Sungai Yangtze untuk lari dari Hubei. - FOTO: AGENSI
A
A
A

BEIJING - Seorang penduduk di wilayah Hubei yang menjadi pusat epidemik koronavirus nekad melarikan diri dengan cuba menyeberangi sungai terpanjang di China.

Lelaki dari daerah Huangmei yang berada di bawah pentadbiran bandar Huanggang itu bagaimanapun berjaya ditahan ketika dia sedang mendayung sebuah sampan di Sungai Yangtze pada minggu lalu.

Jurucakap polis berkata, lelaki berkenaan memberi alasan dia terpaksa menggunakan pengangkutan luar biasa itu untuk ke tempat kerjanya di Jiujiang berikutan sekatan perjalanan dikuatkuasakan di Hubei sejak 26 Januari lalu

Bagaimanapun, pihak berkuasa bertindak menahan lelaki itu sebelum dia sempat tiba di destinasinya.

Gambar kejadian itu yang turut tular di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan membawa baldi dan bangku di dalam sampan tersebut.

Pada Sabtu lalu, polis Shanghai memaklumkan mereka kini memburu seorang lelaki dari bandar Xia-gon di Hubei selepas dia dipercayai cuba melarikan diri dengan menaiki kapal tangki minyak.

Dua kapal tangki minyak haram dipintas di kawasan perairan hab kewangan global itu selepas pihak berkuasa dimaklumkan tentang seorang kru kapal tersebut dari wilayah Fujian mengalami batuk tanpa henti.- Agensi

Artikel Berkaitan: