UK pertingkat undang-undang tangani keganasan

Pegawai forensik memeriksa tempat kejadian Sudesh Amman ditembak di Streatham High Road, London kelmarin. - Foto: AFP
Pegawai forensik memeriksa tempat kejadian Sudesh Amman ditembak di Streatham High Road, London kelmarin. - Foto: AFP
A
A
A

LONDON - Kerajaan Britain menjanjikan perubahan terhadap sistem menangani pengganas yang dibebaskan dari penjara susulan kes polis menembak mati seorang lelaki yang menikam dua individu dalam kejadian di sini semalam.

Menurut polis, Sudesh Amman, 20, yang memakai jaket pengebom bunuh diri palsu ditembak di Streatham High Road di sini kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan) semalam.

Difahamkan, suspek dibebaskan awal dari penjara atas kesalahan keganasan baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, kerajaan bertindak balas dengan mengumumkan hukuman lebih panjang untuk kesalahan keganasan, menamatkan pembebasan awal dan menambah bajet polis antikeganasan pada tahun kewangan akan datang.

Pada Disember 2018, Amman dipenjara susulan 13 sabitan kegiatan keganasan sebelum dibebaskan beberapa minggu lalu dan diletakkan di bawah pengawasan polis.

Dia ditahan di utara London pada Mei 2018, selepas disyaki merancang serangan pengganas, sebulan selepas polis dimaklumkan mengenai muat naik tertuduh di laman Telegram.

Kejadian keganasan terbaharu itu berlaku dua bulan selepas polis bersenjata menembak mati seorang pengganas yang dibebaskan awal dari penjara dan menikam mati dua orang yang menghadiri persidangan pemulihan banduan berhampiran Jambatan London. - AFP

Artikel Berkaitan: