Teruja iklan iPhone murah, penuntut rugi RM31,200 kena tipu

Gambar kecil: Hamdan
Gambar kecil: Hamdan
A
A
A

KUALA NERUS - Teruja melihat iklan telefon pintar jenama iPhone dijual pada harga murah di Instagram, seorang penuntut berputih mata selepas kerugian sebanyak RM31,200.

Kejadian berlaku selepas gadis berusia 22 tahun itu berminat membeli telefon berkenaan yang ditawarkan dengan harga RM1,200 selepas melihat iklan dalam laman sosial itu pada 23 Januari lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, mangsa dari Kampung Mengabang Telipot di sini kemudian berurusan dengan penjualnya melalui aplikasi WhatsApp.

"Sejurus menyatakan persetujuan dengan harga promosi ditawarkan, mangsa kemudian membuat bayaran RM1,200 dengan memasukkan wang ke akaun diberikan suspek hari yang sama.

"Kemudian dia bertanyakan tentang nombor siri kiriman barang tersebut, tetapi suspek berdolak-dalih sebelum mengarahkan mangsa menghubungi nombor telefon yang diberi untuk mendapatkan maklumat dikehendaki.

"Tanpa syak, keesokan harinya, mangsa menghantar pesanan ringkas kepada nombor kedua untuk bertanyakan mengenai nombor siri barang sebelum diarahkan memindahkan RM1,500 di akaun sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hamdan berkata, mangsa kemudian diarahkan sekali lagi memasukkan RM3,500 kononnya bagi proses memulangkan semula wang sebelum ini.

"Bagaimanapun sejurus wang dipindahkan, suspek masih lagi meminta wang dengan memberi alasan sama sehinggalah wang dipindahkan keseluruhan mencecah RM30,000.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali selesai memindahkan wang seperti diarahkan, mangsa bertanyakan tentang status proses pemulangan semula wangnya, tetapi suspek tetap memberi alasan sama iaitu masih dalam proses," katanya.

Jelas Hamdan, bagi meyakinkan mangsa, suspek berjanji yang proses pemulangan wang tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat selain berjanji mangsa akan mendapatkan semula semua wang yang dipindahkan sebelum ini, pada 27 Januari lalu.

"Tetapi pada hari dijanjikan, mangsa masih tidak mendapat wangnya semula sebelum dimaklumkan pindahan wang tidak boleh dilakukan kerana berdepan dengan masalah mendapatkan 'code'.

"Suspek memaklumkan untuk proses mendapatkan 'code' itu, perlu membuat pembayaran berjumlah RM3,000, tetapi mangsa memberitahu yang dia tidak mempunyai wang lagi," katanya.

Kata Hamdan, mangsa ada dihubungi suspek pada keesokan harinya iaitu Selasa lalu kononnya untuk memasukkan wang dijanjikan, tetapi tidak dipedulikan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Keterangan mangsa sudah diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.