Koronavirus: UMK tangguh ambil penuntut China

Noor Azizi (dua dari kanan) melawat karnival yang berlangsung di UMK Bachok di sini hari ini. -Foto ihsan pembaca
Noor Azizi (dua dari kanan) melawat karnival yang berlangsung di UMK Bachok di sini hari ini. -Foto ihsan pembaca
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menangguhkan pengambilan penuntut dari China yang dijadual bakal mendaftar pada bulan ini sehingga September depan sebagai langkah berjaga-jaga penularan wabak koronavirus.

Naib Canselornya, Datuk Dr Profesor Noor Azizi Ismail berkata, seramai 200 pelajar dari China bakal mendaftar di UMK bagi pengajian peringkat pra dan pasca siswazah dalam pelbagai bidang pada bulan ini.

“Atas faktor kesihatan, kami mengadakan perbincangan dan bersetuju untuk menangguhkan seketika kemasukan mereka daripada wilayah-wilayah yang dilanda wabak atau wilayah terdekat,” katanya ketika ditemui pada Karnival Penyelidikan dan Inovasi UMK 2019 di UMK Kampus Bachok di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Timbalannya, Abd Azizz Kadir.

Noor Azizi berkata, pihaknya juga menangguhkan sebarang aktiviti universiti ke negara berkenaan bagi mengelakkan sebarang pendedahan virus kepada warga UMK.

“UMK sepatutnya dalam perjalanan ke China bagi pertandingan Outbound Mobility pada bulan ini turut dibatalkan.

“Setiap pelajar yang melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur atau luar negara dalam tempoh ini juga akan melalui saringan ujian kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, pihak universiti sentiasa mengikuti perkembangan terkini penularan wabak berkenaan terutama daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan ratusan kajian yang bakal dilaksanakan UMK dan pihak luar dalam pelbagai bidang.

“Melalui karnival itu, sebanyak 145 penyelidik mempamerkan kajian masing-masing membabitkan pensyarah UMK dan pelajar sekolah,” katanya.