PKR tak pinggir sesiapa

MA Tinagaran
MA Tinagaran
A
A
A

IPOH - PKR Perak tidak meminggirkan mana-mana pemimpinnya walaupun mereka tidak berada di dalam barisan kepimpinan negeri.

Timbalan Pengerusinya, MA Tinagaran berkata, barisan kepimpinan sedia ada diilhamkan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengambil kira kedinamikan politik yang banyak terpalit dengan ketirisan oleh rejim lepas.

Katanya, ketiadaan nama beberapa tokoh termasuk Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dan Exco Kerajaan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari sebenarnya bertujuan memberi ruang masa yang secukupnya bagi mereka untuk fokus dan membaiki pentadbiran negeri dan juga kerajaan Pusat.

"Kita memahami tugas besar dipikul YB Yunus dalam kerajaan negeri dan Dr Lee di peringkat Persekutuan. Kita mahu mereka menumpukan usaha membangunkan negeri dan negara.

"Jadi tidak timbul soal ada pimpinan negeri yang tercicir dalam lantikan kepimpinan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Tinagaran berkata, rakyat ingin melihat manfaat daripada pertukaran kerajaan dan tanggungjawab untuk tersebut dipikul oleh Farhash Wafa.

Dalam pada itu, Tinagaran berkata, dalam usaha memantapkan organisasi dan kepimpinan, PKR Perak akan menyediakan kad prestasi kepada setiap Adun dan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili parti itu.

Katanya, laporan prestasi itu akan diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berkala bagi memastikan kualiti perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat khususnya anak muda kini mempunyai keinginan yang tinggi untuk melihat wakil rakyat yang mempunyai pendidikan yang bagus, pengetahuan yang cukup untuk diterjemahkan melalui program-program yang dilaksanakan sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun parti.

"PKR perlu memastikan pemimpin mereka berkualiti dan berketrampilan agar imej parti terus dihormati serta mendapat kepercayaan rakyat," katanya.

Beliau berkata, barisan kepimpinan yang menggabungkan tenaga baharu dan lama yang lebih segar ini mengetengahkan politik masa depan.

Katanya, PKR Perak masih memerlukan pandangan orang lama malah sumbang saran oleh mereka yang di luar kepimpinan boleh terus dikemukakan menggunakan saluran yang betul di dalam parti.