Kerajaan kesal Sajat bertelekung di Tanah Suci: Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa -Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan kesal dengan tindakan usahawan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzaman atau Nur Sajat dan rakan-rakan yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan itu telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi.

"Saya kesal dengan tindakannya, sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan," katanya kepada pemberita selepas townhall Maqasid Syariah di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya agensi pelancongan yang membawa Muhammad Sajad,35, sepatutnya sedia maklum dengan status lelaki itu.

"Saya tidak tahu apa janji dia kalau bawa pergi umrah. Apa janji dia untuk tidak menimbulkan perkara yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat," katanya.

"Ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia telah menceroboh ruang dikhaskan kepada wanita," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada orang ramai yang terganggu dengan tindakan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kad pengenalannya adalah lelaki dan dia seorang lelaki secara biologinya.

"Apabila di Makkah dia berpakaian telekung dan sudah tentu berpakaian wanita. Semua pergerakan, tempat yang dia lawati dan ruang solat dia adalah bersama wanita.

"Ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia telah menceroboh ruang dikhaskan kepada wanita," katanya.

Instagram Sajat
Instagram Sajat

Mujahid berkata, pihaknya akan memanggil semua agensi pelancongan untuk memastikan perkara itu tidak berulang.

"Sudah tentu. Sepatutnya agensi ini yang perlu membuat penelitian supaya tindakan itu tidak menjejaskan sensitiviti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan Sajat dan rakan-rakannya itu tidak akan menjejaskan kuota haji negara.

"Ini lebih kepada masalah individu yang perlu ditangani iaitu tiada salahnya jika dia pergi (Makkah) dalam keadaan lelaki," katanya.

Terdahulu Sajat memuatnaik gambar-gambar dan video di Makkah.

Dia yang masih berada di Tanah Suci itu menunaikan umrah bersama ibu bapanya dan beberapa rakan yang lain.

Sementara itu, Pencetus Ummah (PU), Amin yang kini berada di Tanah Suci berkata bukan sahaja rakyat Malaysia, sebaliknya, isu jemaah lelaki yang berpakaian seperti wanita ketika mengerjakan umrah khabarnya mendapat perhatian pihak berkuasa di Makkah.

Beliau berada di sana mengiringi jemaah sebagai mutawif.

Melalui perkongsian di laman Instagramnya, Amin memberitahu, dia telah ditegur oleh polis Arab Saudi dan bertanya sama ada dia mengetahui mengenai isu tersebut.

"Dia tanya hal yang sedang kecoh pasal lelaki berpakai pakaian perempuan itu dari Malaysia ke? Saya kata saya tak tahu cerita (buat buat tak tahu )," tulisnya di perkongsian yang di buat melalui laman instagram.