Penjawat awam direman seleweng biasiswa RM2.5 juta

Suspek ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, tadi.
Suspek ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang biasiswa bernilai lebih RM2.5 juta.

Perintah tahanan reman itu diperolehi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Analia Kamaruddin terhadap suspek yang berusia 32 tahun.

Suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi tadi, sebelum dibawa keluar sejam kemudian.

Sumber berkata, lelaki itu ditahan di Felda Menggong, Alor Gajah Melaka pada jam 7.15 malam, semalam melibatkan kes yang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber, dalam satu transaksi terkini, SPRM Melaka mendapati suspek telah memasukkan sejumlah wang biasiswa pelajar di sebuah sekolah agama milik kerajaan negeri bernilai lebih RM35,400 ke dalam akaun peribadinya.

Tambahnya, melalui semakan awal dokumen yang terlibat mendapati jumlah penyelewengan yang dilakukan oleh suspek sebelum ini telah mencecah hampir RM2.5 juta bagi penyaluran biasiswa untuk diagih-agihkan ke 77 buah sekolah di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.