Mufti saran solat hajat mohon hindari wabak koronavirus

Mohamad Shukri
Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Masjid dan surau di Kelantan digalakkan untuk melakukan solat hajat memohon keredaan ALLAH SWT bagi menghindari rakyat daripada sebarang penyakit berbahaya seperti koronavirus yang melanda masyarakat dunia kini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, doa merupakan senjata paling tajam kepada umat Islam dan perisai untuk berdepan segala ujian yang mendatang.

"Saya galakkan semua masyarakat buat solat hajat ini. Ia merupakan senjata terbaik umat Islam. Insya-ALLAH kita akan terhindar daripada segala malapetaka yang tidak diingini," katanya dalam satu sidang media malam tadi.

Beliau hadir pada Majlis Ramah Mesra Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Hotel Perdana yang turut dihadiri Yang Dipertuanya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Mohamad Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan tidak pergi ke kawasan-kawasan bawaan wabak yang boleh memberi kesan kepada orang lain.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menitahkan semua masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon kepada ALLAH SWT agar memelihara negara serta rakyat daripada sebarang penyakit tidak diingini susulan peningkatan wabak koronavirus di China dan negara lain termasuk Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Agong titah semua masjid adakan solat hajat

Artikel Berkaitan: