Sudahlah bersih, cantik pula hiasannya!

Tandas awam PJ2 yang sentiasa kemas dan bersih menjadi pilihan orang ramai.
Tandas awam PJ2 yang sentiasa kemas dan bersih menjadi pilihan orang ramai.
A
A
A

JITRA - Sebut sahaja tandas awam sesiapa sahaja pasti akan terbayang keadaan tandas yang kotor selain bau yang kurang menyenangkan namun situasi itu berbeza sekali jika anda menggunakan tandas awam di Pekan Jitra 2 (PJ2) di sini.

Tandas di bawah kelolaan Mohd Ridzuan Mansor, 30, ini bukan sahaja bersih malah turut dihiasi dengan pelbagai jenis bunga yang memukau pandangan sesiapa sahaja yang lalu lalang di kawasan terbabit.

Mohd Ridzuan berkata, dia memperolehi tender menjaga tandas berkenaan sejak awal tahun 2018 dan menghabiskan masanya kira-kira 16 jam setiap hari di situ.

"Saya duduk di sini lebih lama berbanding di rumah sendiri dan tujuan saya hias tandas ini adalah untuk mendidik orang ramai supaya sama-sama menjaga kebersihan dan kemudahan yang ada di sini.

"Bagi saya, kalau tandas cantik sahaja tetapi tidak bersih tidak boleh juga. Malah secanggih mana pun tandas itu, tetapi masyarakat tidak ada kesedaran untuk menjaga ia tetap sia-sia," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, dalam menjaga kebersihan masyarakat perlu membuang sifat pentingkan diri sendiri dan mengamalkan sikap bertolak ansur.

"Memang ini tandas awam dan mereka bayar sebelum masuk, tetapi didik diri untuk menggunakan kemudahan ini secara berhemah supaya orang lain juga dapat menikmati kemudahan yang sama.

"Jangan anggap apabila anda sudah bayar, jadi penjaga tandas yang akan membersihkan segala sisa yang anda tinggal. Sebenarnya bayaran 50 sen itu hanya cukup untuk menampung penyelenggaraan tandas sahaja," katanya yang menerima Anugerah Khas Tandas Terbersih Milik Majlis Perbandaran Kubang Pasu Tahun 2019 pada April tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan dalam tandas perempuan yang kemas dan selesa untuk kegunaan orang ramai.
Keadaan dalam tandas perempuan yang kemas dan selesa untuk kegunaan orang ramai.

Mohd Ridzuan berkata, setelah beberapa tahun, usahanya untuk mendidik masyarakat setempat tentang kebersihan membuahkan hasil.

"Sekarang penduduk dan peniaga sudah faham dan boleh mengikut peraturan yang saya buat di sini.

"Mereka akan tanggalkan kasut dan memakai selipar yang disediakan dan setelah selesai mereka akan susun semula selipar di rak terbabit.

"Saya sendiri akan pastikan segalanya kemas serta teratur dan sekiranya ada pengguna yang tidak menjaga kebersihan ketika menggunakan tandas ini, saya akan tegur dengan cara yang baik," katanya yang membersihkan tandas terbabit tiga kali sehari.

Sementara itu, seorang peniaga, Sariyan Saad, 50, berkata,tandas terbabit sangat selesa dan bersih seakan-akan tidak berbaloi dengan bayaran 50 sen yang dikenakan.

"Apabila tandas itu bersih kita yang nak guna pun rasa selesa. Tak pernah lagi saya bau busuk kat tandas ni, nak jumpa sisa-sisa sampah pun tak pernah.

"Lagipun Mohd Ridzuan ini rajin orangnya, dia akan pastikan tandas ini bersih dan selesa untuk orang ramai guna setiap hari," katanya.

Mohd Ridzuan membersihkan tandas tiga kali sehari untuk memastikan kebersihan tandas itu terpelihara.
Mohd Ridzuan membersihkan tandas tiga kali sehari untuk memastikan kebersihan tandas itu terpelihara.