Taman Mini Malaysia: Melaka sedia tukar pengurusan baharu

Adly
Adly
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menukar pengurusan baharu bagi produk pelancongan Taman Mini Malaysia sebagai teguran kepada pengurusan itu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, teguran itu dibuat setelah lawatan beliau baru-baru ini yang kurang berpuas hati dengan tahap pengendalian pengurusan sedia ada terutama dalam hal penyelenggaraan kawasan pelancongan tersebut sehinggakan ada tempat yang berlumut dan mencatatkan pemandangan.

Menurutnya, aset dimiliki pusat pelancongan cukup baik, tetapi tahap penyelenggaraan kawasannya begitu lemah sedangkan lokasi pelancongan utama itu terletak kira-kira satu kilometer dari pintu masuk Melaka iaitu plaza tol Ayer Keroh.

"Saya memberikan penarafan tiga dari 10, contoh laluan yang berlumut yang sepatutnya antara benda asas yang perlu dititikberatkan.

"Penarafan itu tidak termasuk kerosakan dan sebagainya tapi tumpuan itu diberikan terhadap hal penyelenggaraan kawasan," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambah Adly, setakat ini pihaknya masih memberikan tempoh untuk pengurusan berkenaan mengambil tindakan selanjutnya hingga Februari depan, namun jika masih lagi gagal membuat sebarang perubahan, beliau tidak teragak-agak sama ada menukar pengurusan swasta baharu atau kerajaan negeri mengambil alih semula pengurusan seperti mana yang pernah berlaku pada Zoo Melaka yang kini di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Artikel Berkaitan: