PDRM lumpuhkan sindiket seludup migran

Mohamad Fuzi Harun. - Foto Bernama
Mohamad Fuzi Harun. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan rangkaian sindiket penyeludupan manusia yang didalangi warga Sri Lanka.

Seramai 34 orang migran membabitkan warga Sri Lanka telah ditangkap dalam operasi di sekitar laluan maritim di Klang, Selangor, 4 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan terdiri daripada 24 warganegara Sri Lanka membabitkan 12 lelaki dewasa, lapan wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, tangkapan turut membabitkan 10 warganegara India melibatkan empat lelaki dewasa, tiga wanita dan tiga kanak-kanak perempuan.

"Selain itu, tiga ahli sindiket warga Sri Lanka terbabit juga berjaya dicekup.

"Polis percaya sindiket ini menggunakan laluan perairan di kawasan Klang untuk menyeludup migran ke Australia dan New Zealand," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, sindiket ini dipercayai telah membeli sebuah bot pelancongan (persiaran) dan dalam proses pembelian tiga buah enjin bot untuk tujuan penyeludupan migran ke Australia serta New Zealand.

Tambahnya, polis percaya sindiket ini telah aktif sejak pertengahan tahun lalu dan mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, India, Australia serta New Zealand.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 akan digunakan terdapat keterangan untuk pendakwaan," katanya.

Tegasnya, PDRM akan terus ke arah usaha mengesan dan membanteras rangkaian penyeludupan manusia bagi memastikan aktiviti ini dapat dihapuskan sepenuhnya.