Bazaria Wangsa Maju semakin diterima pengunjung

Bazaria Wangsa Maju kini semakin meriah dengan kehadiran pengunjung selepas mula operasi Januari lalu. - Foto Facebook Bazaria Wangsa Maju
Bazaria Wangsa Maju kini semakin meriah dengan kehadiran pengunjung selepas mula operasi Januari lalu. - Foto Facebook Bazaria Wangsa Maju
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga di Bazaria Wangsa Maju kini boleh menarik nafas lega selepas perniagaan mereka di lokasi baharu semakin baik dan mendapat tempat di hati pengunjung sejak mula beroperasi Januari lalu.

Pemindahan peniaga dari Uptown Danau Kota itu sebelum ini mendapat bantahan disebabkan faktor lokasi dan fasiliti.

Namun aduan tersebut diselesaikan secara berperingkat melalui tambah baik yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, DBKL mengambil pendekatan bertindak tegas tetapi berhemah dalam penyelesaian isu berbangkit.

"Ia termasuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan melesenkan tapak kepada pihak ketiga.

"Dalam masa sama, DBKL memantau kenderaan awam yang tidak meletakkan kenderaan di tempat yang sepatutnya," katanya berkongsi perkembangan Bazaria Wangsa Maju.

Nor Hisham berkata, DBKL juga sedang meneliti keperluan menambah petak niaga susulan lokasi baharu itu kian mendapat sambutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga Uptown Danau Kota akan dipindahkan

Artikel Berkaitan:

Tiada kekecohan libat peniaga Uptown Danau Kota

"DBKL sedang menyemak kelayakan pemohon bagi mengisi baki kekosongan 61 petak. Pusat Khidmat Wangsa Maju telah menghantar 43 senarai pemohon dan hanya sepuluh yang akan dipilih.

"Ini kerana seramai 51 peniaga Uptown Danau Kota yang sebelum ini telah dibatalkan lesen mereka akan diberikan semula lesen untuk berniaga di tapak baharu," katanya.

Pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi Bazaria Wangsa Maju yang beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula jam 7 malam hingga 3 pagi. - Foto Facebook Bazaria Wangsa Maju
Pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi Bazaria Wangsa Maju yang beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula jam 7 malam hingga 3 pagi. - Foto Facebook Bazaria Wangsa Maju

Katanya, tapak sementara itu akan beroperasi sehingga tapak kekal di Jalan Genting Klang bersebelahan JPJ Wangsa Maju siap dijangka mengambil masa lebih dua tahun.

Bazaria Wangsa Maju beroperasi setiap hari kecuali Isnin dengan jumlah 500 petak bermula jam 7 malam hingga 3 pagi.

Sebanyak 438 petak telah diisi peniaga yang majoritinya peniaga Melayu, 20 peniaga Cina dan enam peniaga India.

Kadar sewa tapak dikenakan adalah RM225 sebulan untuk barangan makanan dan RM212 untuk barangan kering.

Lebih 100 petak parkir turut disediakan di tapak baharu itu sebagai mengatasi aduan kacau ganggu dan halangan.

DBKL turut memberikan pengecualian bayaran sewa tapak selama tiga bulan hingga Mac kepada semua penjaja itu namun ia tidak melibatkan bayaran lesen.