Jangan sebar berita palsu koronavirus: Fuziah

Fuziah (empat dari kiri) bersama Khairuddin (empat dari kanan) menghasilkan tulisan kaligrafi sebagai simbolik perasmian majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Jawatankuasa Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah hari ini.

A
A
A

KUANTAN - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai wabak koronavirus bagi mengelakkan rakyat di negara ini panik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, tindakan sedemikian juga boleh mengundang ketakutan sedangkan tiada rakyat Malaysia yang dijangkiti koronavirus setakat hari ini.

Menurutnya, orang ramai perlu mendapatkan laporan sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa berhubung penularan koronavirus sebelum disebarkan kepada umum.

"Setakat ini, hanya lapan orang dijangkiti koronavirus dan kesemuanya adalah warganegara China.

"Kerajaan juga sedang memastikan gejala ini tidak terus merebak...jadi saya nasihatkan jangan terus-menerus sebar berita palsu dan menakutkan orang ramai kerana situasi masih terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Jawatankuasa Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah hari ini.

Fuziah dan Khairuddin (dua dari kiri) melihat persembahan tarian naga pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Jawatankuasa Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah hari ini.

Artikel Berkaitan:

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmod bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, ADUN Semambu, Lee Chean Chung, ADUN Teruntum, Sim Chon Siang dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan, Datuk Seri Ng Chong Keong.

Dalam pada itu, Fuziah mengakui ekonomi negara akan terjejas terutamanya industri pelancongan disebabkan penularan koronavirus ini.

"Oleh itu, semua pihak harus bersatu padu dalam mengatasi perkara ini dengan menghentikan penyebaran berita yang tidak benar," katanya.

Sementara itu, Khairuddin berkata, sebanyak RM20,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan Pahang kepada penganjuran majlis sambutan Tahun Baru Cina pada hari ini.

"MB (Wan Rosdy) ada menghubungi saya sekejap tadi memaklumkan pihak kerajaan mahu menyumbang RM20,000 bagi membiayai majlis ini.

"Saya harapkan semua rakyat dapat meneruskan agenda kesepaduan di antara kepelbagaian kaum di negara ini," katanya.