Ubah kepada e-dagang untuk rasai pertumbuhan ekonomi

Chieng Jen - Foto Bernama
Chieng Jen - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Golongan peniaga di negara ini perlu melakukan perubahan model perniagaan kepada e-dagang bagi mendapat manfaat daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, model perniagaan e-dagang diguna pakai di seluruh dunia dan aktiviti e-dagang itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus.

“Inilah revolusi perindustrian yang sedang berlaku sekarang. Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 4.7 peratus pada tahun lepas, namun ramai pihak khasnya golongan peniaga tidak merasai atau mendapat manfaat daripadanya.

“Golongan peniaga di negara ini masih ramai yang mengamalkan model perniagaan konvensional... mereka harus berubah mengikut peredaran zaman bagi mendapat manfaat daripada pertumbuhan KDNK itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina kementerian itu bersama badan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan Sarawak dan komuniti di sini hari ini.

Mengenai rumah terbuka itu, Chieng Jen berkata, sudah menjadi satu kebanggaan rakyat Sarawak untuk meraikan pelbagai perayaan bersama yang secara langsung memupuk keharmonian antara kaum di negeri ini.

“Terdapat pelbagai perayaan yang diraikan bersama di sini seperti Tahun Baru Cina, Gawai, Hari Raya dan juga Krismas. Ini satu keistimewaan yang ada di negeri Sarawak dan sambutan bersama ini harus dikekalkan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: