Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah platform fahami kehakiman

Tengku Maimun (duduk, empat dari kanan) melihat perbicaran 'olok-olok' pelajar Maktab Sultan Ismail sempena majlis pelancaran MYC2C di Maktab Sultan Ismail hari ini. - Foto Bernama
Tengku Maimun (duduk, empat dari kanan) melihat perbicaran 'olok-olok' pelajar Maktab Sultan Ismail sempena majlis pelancaran MYC2C di Maktab Sultan Ismail hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Program Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) platform terbaik dalam mendidik serta memberikan pendedahan sebenar kepada masyarakat mengenai sistem kehakiman dan perundangan negara.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berkata, pelaksanaan MYC2C tercetus kerana pihaknya mendapati masyarakat masih kurang memahami fungsi mahkamah dan sistem kehakiman negara.

"Kita percaya masalah ini patut ditangani di peringkat paling awal dan sebab itulah kita sasarkan kepada pelajar. Kita ada tiga modul untuk program ini iaitu Hakim Ke Sekolah, Peguam Muda dan Lawatan Ke Mahkamah.

"Dari situlah kita dapat sasarkan pelajar dan guru-guru untuk merasa suasana dalam mahkamah," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan program tersebut di Maktab Sultan Ismail di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Datuk Seri Azahar Mohamed; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin dan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching.


Menurutnya, walaupun kesan pelaksanaan program tersebut masih terlalu awal namun pihaknya yakin ia akan memberikan impak positif kepada rakyat seluruh negara terutamanya golongan sasaran itu sendiri.

"Pelaksanaan ini penting untuk mengelak berlakunya persepsi negatif ketidaktelusan yang sering kali dilemparkan kepada badan kehakiman negara.

Sementara itu, Teo Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan turut menyambut baik dan menyokong inisiatif tersebut memandangkan sumber ilmu pengetahuan tidak terikat kepada teori semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menggalakkan sekolah supaya mengguna pakai portal yang disediakan untuk mereka mendapatkan maklumat mengenai program ini dan boleh dilaksanakan di sekolah masing-masing," katanya.