X

Kindly register in order to view this article
!

Pasca Brexit: UK perlu tumpu semula kerjasama ekonomi dalam Komanwel

A
A

KINI susulan selesainya pelaksanaan Brexit, United Kingdom (UK) perlu menumpukan semula kerjasama ekonomi bukan sahaja dengan Amerika Syarikat malah pelbagai negara dalam Komanwel termasuk Malaysia, kata Felow Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.

“Sebagai permulaan, perdagangan dan pelaburan dengan anggota Komanwel seperti Malaysia perlu dipergiat, tujuannya untuk membentuk kawasan perdagangan bebas bagi seluruh Komanwel, menumpukan kerjasama ekonomi dan bukan pemusatan politik, seperti pengajaran yang jelas ditunjukkan daripada Brexit,” katanya kepada Bernama TV dalam temu bual menerusi e-mel.

Dr Oh, yang merupakan pakar hubungan antarabangsa ditanya mengenai Brexit tindakan UK keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Susulan referendum pada Jun 2016 dengan 52 peratus mengundi supaya keluar daripada EU, kerajaan UK secara rasmi mengumumkan Brexit pada Mac 2017 sekali gus memulakan proses berkaitannya yang sukar.

UK akhirnya meninggalkan EU pada 31 Januari 2020 sekali gus menamatkan keanggotaannya dalam blok perdagangan itu selama 47 tahun.

Dr Oh berkata, UK menyertai Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) pada 1970-an terutama dengan harapan ia dapat meningkatkan kerjasama ekonomi di antara negara-negara Eropah.

Beliau berkata, bagaimanapun sejak beberapa tahun lepas, pandangan bahawa kesemua negara anggota EU membentuk 'gagasan lebih akrab' telah terhenti.

Ini berikutan banyak perkara membabitkan kedaulatan negara perlu dikorbankan kepada satu birokrasi berpusat yang jauh di Brussels, katanya.

“UK meneruskan trend pengumpulan kuasa ini dengan separuh hati dan terpaksa memilih contohnya, untuk keluar daripada perjanjian eurozon dan Schengen (sempadan terbuka).

"Jadi, bukanlah satu kejutan besar apabila pengundi Britain memilih Brexit, walaupun perbezaan di antara yang memilih supaya UK keluar dari EU dengan undian agar kekal dalam blok itu adalah kecil. Kemenangan pilihan raya terkini oleh Perdana Menteri Boris Johnson juga mencerminkan pengundi Britain mengesahkan pilihan Brexit mereka,” katanya.

Beliau berkata, EU kecewa dengan langkah UK meninggalkan blok itu kerana terutamanya ia boleh dijadikan sebagai duluan penting bagi beberapa anggota lain yang rakyat atau kerajaannya juga semakin bertentangan dengan Brussels dan juga negara yang sedang mempertimbangkan idea untuk mengambil tindakan yang sama.

Melangkah maju, Dr Oh berkata, Brexit boleh memberi keyakinan mengenai sentimen untuk keluar dari EU kepada beberapa negara besar dan kecil dalam blok tersebut dengan itu sekali gus kesatuan berkenaan perlu menerima keadaan sukar kewujudannya.

Menyertai EU hampir separuh abad, UK mungkin dikatakan gagal menonjolkan kepimpinannya dalam kalangan negara di bawah Komanwel British.

Komanwel, sebuah rangkaian 53 negara yang kebanyakannya bekas jajahan British, dibentuk pada 1949 dengan tujuan memajukan kerjasama antarabangsa, ekonomi, pembangunan sosial dan hak asasi manusia di negara anggota.

Keputusan oleh pelbagai majlis Komanwel adalah tidak terikat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus