X

Kindly register in order to view this article
!

Isu depresi, sawan jadi taruhan

REKAAN Akmal Hakim mengetengahkan busana bernama The Healer kombinasi unsur seni, fesyen dan batu kristal jenis Agate yang digunakan dalam rawatan alternatif mengurangkan kadar stres.
A
A

BAIK Akmal Hakim Ajirul, Ahmad Masyadi Mansoor mahupun Muhammad Zaffir Mohd Najib masing-masing menumpahkan idea rekaan konsep art-to-wear dalam cara tersendiri.

BIARPUN berdepan pelbagai cabaran, namun berkat saluran ilmu yang diperoleh daripada tenaga pengajar mereka bukan sahaja berjaya menghasilkan busana menawan, bahkan dinobatkan sebagai pemenang utama pada Pertunjukan Fesyen Ijazah UiTM 2020.

KOMBINASI hijau dan ungu menyerlahkan busana gaun petang ini.
KOMBINASI hijau dan ungu menyerlahkan busana gaun petang ini.

Percaturan Akmal Hakim mislanya yang mengangkat tema depresi dalam menghasilkan koleksi busana wanita tidak sia-sia. Kreativiti jejaka berusia 25 tahun itu menterjemahkan isu kesihatan ke medium fesyen art-to-wear dengan begitu sempurna telah melayakkan beliau merangkul Anugerah Emas pada pertunjukan fesyen berkenaan.

Menurut anak kelahiran Sandakan, Sabah tersebut, masalah kemurungan menjadi taruhannya selepas melakukan kajian dan pemerhatian terhadap kes di dalam dan luar negara.

“Berdasarkan kajian peribadi yang dijalankan, data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan bahawa gangguan mental merupakan masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung.

“Salah satu industri yang membawa kepada depresi adalah bidang fesyen yang mana sebahagian besar pereka berdepan tekanan ketika proses lakaran dan menyiapkan rekaan mengikut garis masa ditetapkan,” ujarnya ketika dihubungi Femina baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada faktor itu, Akmal Hakim mengetengahkan koleksi busana bernama The Healer kombinasi unsur seni, fesyen dan batu kristal jenis Agate yang lazimnya digunakan dalam rawatan alternatif bagi mengurangkan kadar stres.

“Rekaan cetakan pada kain diinspirasi daripada pandangan mikroskopik. Apabila batu kristal Agate diteropong ia akan memantulkan bentuk sinaran yang cantik. Kemudian, pancaran itu dimanupulasi menjadi corak di atas fabrik net dan metallic organdy untuk memberikan ilusi pergerakan warna umpama cahaya sedang menembusi sebutir kristal,” tuturnya.

Bicara lanjut, beliau yang mengambil masa enam bulan menyiapkan lima pasang pakaian turut menggunakan material metallic canvas dan tulle untuk menyuntik kesan timbul dan berdimensi.

Ditanya kesesuaian lokasi menggayakan busana The Healer, anak ketiga daripada empat beradik itu pantas menjawab: “ Memandangkan konsep diterapkan art-to-wear maka ia ideal membaluti tubuh pencinta fesyen yang berani menampilkan kelainan tatkala hadir pada majlis berprestij ataupun acara pementasan.

"Hakikatnya bukan mudah untuk menghasilkan busana wanita kerana kita perlu memastikan setiap rekaan memiliki pembaharuan agar kekal relevan dan menepati cita rasa masyarakat."

Tarian singaJika Amirul bermain dengan isu depresi, berlainan pula dengan Ahmad Masyadi Mansoor yang menjadikan tarian singa sebagai signatur utama rekaan fesyen art-to-wear.

BAGI menghasilkan rekaan terbaik insipirasi daripada kostum tarian singa Ahmad Masyadi telah menggabungkan pelbagai teknik jahitan.
BAGI menghasilkan rekaan terbaik insipirasi daripada kostum tarian singa Ahmad Masyadi telah menggabungkan pelbagai teknik jahitan.

Ujar pemenang Anugerah Perak tersebut, pengalaman membesar di Pulau Pinang telah mendedahkan beliau pada sambutan Tahun Baru Cina yang diserikan dengan persembahan tarian singa.

“Acap kali perayaan (Tahun Baru Cina) ini berlangsung, saya tidak melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan tarian singa di sekitar kawasan kejiranan ataupun pusat beli-belah.

“Dek meminati ‘kemeriahan’ yang ditonjolkan dalam tarian berkenaan, secara tidak langsung memberikan saya inspirasi untuk mentafsirnya dalam pakaian art-to-wear,” katanya yang turut menggabungkan kostum pahlawan Cina.

Mengulas lanjut mengenai rekaan berkenaan pereka muda berusia 24 tahun itu menjelaskan, beliau menggunakan pelbagai teknik jahitan seperti stuffing yang mana setiap busana diisi serat poliester.

"Fungsi poliester adalah untuk mencipta efek siluet besar. Bukan itu sahaja, saya juga bermain dengan teknik cable tie dan knitting yarn sebagai intepretasi bulu kostum pada tarian singa.

"Bagi menyuntik keunikan saya menghasilkan sendiri corak fabrik bermotifkan kepala kostum tarian singa yang disusun secara rawak. Warna yang digunakan seperti merah, kuning, hitam, hijau dan putih bukan sekadar suka-suka, sebaliknya simbolik pahlawan Cina pada Dinasti Han," jelas Ahmad Masyadi yang memilih jurusan fesyen bagi meneruskan legasi ibu tercinta.

Bicara anak keempat daripada lima beradik tersebut selepas menamatkan pengajian Diploma Seni Reka Tekstil di UiTM Machang, Kelantan, beliau berazam untuk menggunakan ilmu tekstil dalam rekaan fesyen.

"Justeru, sebaik sahaja mendapat restu daripada keluarga saya tekad memilih jurusan fesyen di UiTM Shah Alam. Diharapkan gabungan pengetahuan dan pengalaman diperoleh dalam dua bidang ini, saya berupaya menyambung bisnes ibu yang merupakan seorang tukang jahit," katanya.

Epilepsi

Sementara itu, Muhammad Zaffir Mohd Najib, 24, juga memilih mengetengahkan konsep occasional art-to-wear yang mengangkat isu epilepsi atau lebih dikenali dengan istilah sawan babi.

MUHAMMAD Zaffir menterjemahkan elemen sawan untuk koleksi busana rekaan beliau.
MUHAMMAD Zaffir menterjemahkan elemen sawan untuk koleksi busana rekaan beliau.

“Epilepsi adalah subjek yang sukar untuk diekspresikan secara fizikal kerana tiada sumber rujukan di luar sana.

“Oleh itu, saya cuba menterjemahkan elemen sawan dari segi emosi, pengalaman dan keadaan dalam bentuk lukisan. Selepas itu, lukisan terbabit diolah dan dijadikan motif di atas hamparan kain,” terang beliau yang memilih siluet konsep cocoon.

Bercerita lanjut mengenai lukisannya, anak kelahiran Semenyih, Selangor itu menerapkan motif mata singular yang membantu menarik perhatian orang untuk melihatnya.

Mata tersebut mewakili masyarakat dan stigma terhadap epilepsi. Sementara itu, corak warna organik pula digunakan bagi melambangkan aspek-aspek sel dan anatomi pada badan manusia.

“Merah menjadi warna utama, namun diaplikasi dalam keadaan tidak terlalu kontra. Ia turut membawa maksud tersirat yang melambangkan warna darah.

“Bagi material pula saya menggunakan kain Blackout sebagai kain asas manakala fabrik Neoprene untuk sokongan. Kebanyakan rekaan ditampilkan potongan longgar dan keseluruhan bentuk tubuh badan demi menyampaikan mesej konservatif,” jelas Muhammad Zaffir yang mengalami penyakit sawan sejak usia 13 tahun.

Bagaimanapun, beliau enggan menjadikan masalah kesihatan itu penghalang untuk bergelar pereka fesyen yang memiliki identiti tersendiri.

SELAIN pakaian art-to-wear, konsep fesyen jalanan juga menjadi pilihan peserta pada Pertunjukan Fesyeb Ijazah UiTM 2020 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
SELAIN pakaian art-to-wear, konsep fesyen jalanan juga menjadi pilihan peserta pada Pertunjukan Fesyeb Ijazah UiTM 2020 di Kuala Lumpur baru-baru ini.